PETALING JAYA: Kemunculan mereka mencetuskan fenomena. Tidak kira sama ada melalui Facebook, Twitter, Instagram mahupun Youtube, setiap posting mereka dikongsi dan diulang siar oleh netizen hingga menjadi viral. Sebut saja nama Faizdickie, Ucopppp, IniAnwarHadi, Mat Luthfi, Jadilah Seperti Rashid mahupun Syed Saddiq, masing-masing mempunyai kelainan tersendiri ketika berkarya di media sosial. Buat julung kalinya kesemua mereka bakal berentap dalam satu pentas menerusi Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016). Ikon viral yang menjadi ikutan ramai ini bakal merebut gelaran Selebriti Media Sosial Pilihan Online di malam kemuncak APO2016 yang bakal berlangsung pada 30 April depan. Sehingga kini kami menerima 12 pencalonan awal bagi kategori Selebriti Media Sosial Pilihan Online. Bagaimanapun anda boleh menambah pencalonan lain di laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my/calon-apo.aspx Lima pencalonan paling banyak akan layak ke peringkat seterusnya iaitu pengundian yang bermula 1 April ini bagi merebut trofi Selebriti Media Sosial Pilihan Online. APO2016 dianjurkan bersama mStar Online dan Suria FM dan dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi. Ia akan disiarkan secara langsung pada 30 April depan menerusi TV2 pada pukul 9 malam bertemakan Glam Digital.