suria

Konsep Penganjuran #APO2016 Tarik Perhatian Ramai

PETALING JAYA: Jelajah Anugerah Pilihan Online (APO) 2016 ke selatan tanah air mendapat sambutan hangat apabila orang ramai tertarik dengan konsep penganjurannya di mana pencalonan dan pengundian selebriti serta personaliti dijalankan sepenuhnya secara dalam talian.

Sambutan hangat pembaca portal berita, mStar Online dan pendengar Suria FM itu dapat disaksikan sewaktu krew Jelajah APO2016 berada di Johor walaupun ia diadakan pada hari bekerja iaitu Selasa dan Rabu.

Pengurus Program Suria FM, Adiwati Zainuddin berkata, orang ramai begitu tertarik dengan konsep penganjuran APO 2016 yang diadakan buat julung kalinya.

"Walaupun siri jelajah ini diadakan pada hari bekerja, orang ramai yang kita temui di Johor cukup sporting di semua lokasi termasuk Johor Baru, Kluang dan Batu Pahat.

"Mereka benar-benar teruja dengan kemunculan APO 2016 yang memberi peluang memilih personaliti dan selebriti yang digemari. 

"Kata mereka anugerah ini bukan sahaja mengenai hiburan tetapi ada banyak lagi kategori seperti bintang sukan dan gaya hidup," katanya.

Bagaimanapun kali ini, kata Adiwati, orang ramai tertarik dengan cara pencalonan yang mudah bagi setiap kategori menerusi dalam talian.

"Orang ramai boleh membuat pencalonan bagi selebriti dan personaliti pilihan untuk setiap kategori secara mudah alih, di mana-mana pada bila-bila masa dengan melayari laman web http://apo.mstar.com.my.

"Mereka bersemangat untuk memaklumkan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga lain mengenai cara yang digunapakai APO," katanya sambil menambah sambutan menggalakkan itu sememangnya di luar jangkaan.

Tambah Adiwati, selepas Johor, krew Jelajah APO 2016 akan berada di Melaka pada Khamis dan seterusnya ke Port Dickson dan Seremban pada Jumaat.

"Melihatkan sambutan tetap meriah walaupun pada hari bekerja, maka kita menjangkakan ia lebih meriah pada hujung minggu nanti," katanya.

Skuad Jelajah APO 2016 dijadualkan berada di Nilai dan Bangi pada Sabtu ini, manakala Kajang dan Serdang pada Ahad.

APO 2016 adalah acara anjuran Kumpulan Media Star yang diadakan buat julung kalinya bagi mengiktiraf penggiat pelbagai industri hiburan dan gaya hidup  menerusi dunia digital.

#APO2016 yang dikendalikan mStar Online dan Suria FM dengan tajaan produk kosmetik Dnars memperkenalkan 17 kategori membabitkan sembilan dalam bidang hiburan, tiga kategori sukan dan lima lagi kategori gaya hidup.

Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas http://apo.mstar.com.my

Sebarang perkembangan terkini mengenai APO2016 boleh diikuti di laman Facebook http://www.facebook.com/AnugerahPilihanOnline.

Anugerah yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.



Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain