suria

MB Terengganu Dapat Amaran Awal Usul Undi Tidak Percaya

Ahmad Razif (tengah) dan pemimpin Barisan Nasional (BN) menunjukkan tanda bagus sebagai tanda bersatu padu dan menyokong kepimpinan pusat dan negeri selepas mengadakan perjumpaan dengan barisan pemimpin komponen BN pada Rabu malam. -fotoBERNAMA

KUALA TERENGGANU: Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said mengemukakan cadangan usul undi tidak percaya terhadapnya sebagai Menteri Besar Terengganu, dibuat atas dorongan pihak tertentu.

"Saya telah diingatkan supaya berhati-hati dan akan ada gerakan luar yang mahu menjatuhkan saya.

"Saya mendapat maklumat tersebut dari Kuala Lumpur," kata Ahmad Razif ketika berucap pada majlis perjumpaan khas Barisan Nasional (BN), Veteran UMNO dan Mubarak Terengganu di sini, Rabu malam.

Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kecoh pada Selasa, berikutan cadangan usul undi tidak percaya itu, bagaimanapun berjalan lancar pada Rabu.

Malah, Adun Kijal yang mengemukakan cadangan itu tidak langsung kelihatan sehingga selesai sesi penggulungan titah ucapan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin pada persidangan DUN ke-13 itu.

Ahmad Razif dalam ucapannya berkata agendanya kini adalah untuk memastikan BN Terengganu terus kuat dan mencipta sebanyak mungkin kejayaan agar BN mencatat kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

"Apa berlaku kepada saya sekarang tidak penting, jika ditakdirkan saya terpaksa berkorban, saya rela demi memastikan UMNO dan BN terus kekal berkuasa pada PRU-14 nanti," katanya.

Ahmad Razif menyifatkan tindakan Ahmad itu sebagai satu hikmah kerana beliau kini dapat mengetahui siapa musuh daripada dalam yang cuba menjatuhkan BN di Terengganu.

Sementara itu, Biro Penerangan Persatuan Siswazah Terengganu (PERSIST) dalam satu kenyataan, berharap semua pihak perlu berlapang dada, memberi ruang dan peluang serta bersama-sama Ahmad Razif membangunkan Terengganu.

"Pemimpin yang baik memimpin masyarakat ke arah penyatuan, dan bukanlah perpecahan. Mari kita semua, bawa negeri kita agar mampu menjadi negeri terhebat, terbaik dan natijah untuk ini adalah rakyat yang mendapat impak positifnya," menurut kenyataan itu.

Artikel Lain