suria

Panas Luar Biasa, Permintaan Bekalan Elektrik Di Semenanjung Catat Paras Tertinggi

KUALA LUMPUR: Cuaca panas luar biasa sejak beberapa hari lepas, melonjakkan penggunaan elektrik ke paras tertinggi di Semenanjung Malaysia, dengan paras tertinggi waktu puncak pada 17,175 megawatt (MW) dicatakan pada Rabu, kata Tenaga Nasional Bhd (TNB).

Syarikat utiliti itu berkata gelombang haba yang disebabkan oleh fenomena cuaca El Nino, menyaksikan permintaan pengguna untuk bekalan tenaga sejak Isnin, melepasi paras had puncak pada 17,000 MW.

"Ini memecah rekod permintaan tempoh masa puncak pada 16,901 MW yang direkodkan pada 6 Jun, 2014.

"Berikutan penjanaan elektrik yang mencukupi, permintaan tinggi yang diunjurkan ini tidak akan memberikan impak ke atas kebolehpercayaan bekalan tenaga," kata TNB dalam satu kenyataan Jumaat.

Kapasiti tenaga di Semenanjung kini berjumlah 22,220 MW, dengan 11,818 MW membabitkan kapasiti TNB sendiri dan selebihnya kapasiti daripada pengeluar tenaga bebas.

Pelanggan digalakkan untuk mengamalkan langkah kecekapan penggunaan bekalan tenaga semasa waktu puncak dari 2 petang hingga 5 petang.

Ini termasuk menetapkan penyaman udara pada 23-25 darjah Celcius, menggosak baju dan membasuh pakaian pada waktu malam, memanaskan air di luar waktu puncak dan mengurus operasi mesin atau kilang pada waktu malam.

panas luar biasa, TNB, El Nino

Artikel Lain