KUALA LUMPUR: Penulis blog, Papagomo berkata beliau tidak menyesal melindungi adik perempuannya. "Mungkin saya tidak sepatutnya menyerang pekerja tersebut tetapi yang pasti saya tidak menyesal melindungi adik saya," kata Papagomo kepada pemberita ketika ditemui di lobi Mahkamah Jalan Duta selepas membayar dendanya. Lelaki berusia 33 tahun itu mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang dibacakan dihadapan Majistret Husna Dzulkifly. Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Mohd Azri Wan Deris didenda RM4,300 atas tiga pertuduhan kerana menyerang seorang pekerja asing. Beliau diarahkan membayar RM1,000 atau jika gagal, penjara dua bulan untuk pertuduhan pertama, RM1,500 bagi pertuduhan kedua dan RM1,800 untuk pertuduhan ketiga. Papagomo didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menampar, menumbuk dan menendang pekerja warga Pakistan, Khuram Shahzad di hadapan lot ED-03-03A di pusat membeli-belah Starparc, Wangsa Maju di sini kira-kira pukul 1.30 petang pada 29 Januari lalu. Bapa empat anak itu diwakili peguam Azizzul Shariman Mat Yusoff. Dalam merayu untuk hukuman ringan, Azizzul berkata anak guamnya tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan dia tidak melakukan kesalahan itu secara membuta tuli seperti disebut dalam satu kenyataan fakta.