suria

Orang Ramai Diminta Tidak Panik, Bekalan Air Di Johor Mencukupi

JOHOR BARU: Orang ramai diminta tidak panik serta bimbang dengan bekalan air buat masa ini berikutan fenomena El Nino yang dijangka boleh mengakibatkan paras air empangan kekeringan di seluruh negara.

Ketua Komunikasi Korporat Syarikat Air Johor Holdings Sdn Bhd (SAJ) Jamaluddin Jamal berkata paras air di beberapa empangan negeri ini masih dapat membekalkan air kepada penduduk.

"Rata-rata empangan di sini dalam keadaan stabil, air masih mencukupi, jadi orang ramai tidak perlu risau," katanya.

Bagaimanapun, pihaknya akan terus membuat pemantauan ke atas dua empangan iaitu Empangan Sungai Lebam dan Empangan Sungai Layang-layang yang paras airnya dikatakan berada pada paras kritikal.

"Pihak kami bimbang musim kemarau ini, paras air berkurangan, malah keadaan air di empangan tidak naik dan semakin menyusut," kata Jamaluddin.

Setakat hari ini, Empangan Sungai Lebam merekodkan paras 10.48 meter, iaitu di bawah paras kritikal iaitu 12.27 meter manakala Empangan Upper Layang merekodkan paras 20.88m berbanding 23.50m paras kritikal.

Jamaluddin berkata pihaknya sentiasa memantau dan menguruskan paras air empangan dengan sebaik mungkin dan catuan air hanya akan dibuat sebagai langkah terakhir.

Pihaknya juga berharap, penduduk di kawasan yang sering terlibat dengan catuan air seperti di Pasir Gudang supaya jangan panik dan sentiasa berhemah menggunakan air.

Selain itu, Jamaluddin menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah panik dan mempercayai info mengenai masalah air yang diviralkan menerusi media sosial seperti Facebook.

Maklumat lanjut mengenai status bekalan air boleh menghubungi Tol Free Line 1800-88-7474 atau emel ke [email protected]. - BERNAMA

SAJ, bekalan air

Artikel Lain