PUTRAJAYA: Proses lelongan awam akan dilakukan secara dalam talian menerusi pengenalan sistem e-Kehakiman fasa dua yang dijangka siap Julai tahun depan, kata Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria. Beliau berkata e-bidding merupakan satu daripada modul dalam projek itu yang akan menggantikan proses lelongan awam yang dijalankan secara manual di mahkamah selama ini. Katanya proses pembidaan secara dalam talian akan meningkatkan lagi integriti dan ketelusan proses bidaan serta menghapuskan manipulasi serta ketirisan proses lelongan secara manual. "Ia juga akan membantu mempercepatkan proses pemulihan hutang dan ia juga akan dibuka kepada lebih ramai bakal pembida," katanya ketika berucap pada program permulaan Projek Kehakiman Fasa 2 di sini, Jumaat. Menurut Arifin, projek e-Kehakiman yang diperkenalkan pada 2009 kini menghadapi cabaran kapasiti server storan yang telah berkurangan untuk menampung pengguna yang semakin meningkat di mahkamah. Beliau berkata, hampir keseluruhan kes tertunggak mahkamah berjaya diselesaikan sejak sistem e-Kehakiman diperkenalkan pada 2009. Arifin berkata, fasa dua sistem itu akan dapat membantu mahkamah dalam mempercepatkan pelupusan kes-kes serta meningkatkan perjalanan proses perundangan di Semenanjung pada tahun akan datang. "Sistem ini juga memberi kelebihan kepada para peguam dari Kuantan, Ayer Keroh, Alor Setar, Butterworth dan lain-lain untuk pemfailan dokumen dengan menggunakan sistem e-Filing yang akan menjimatkan masa dan kos peguam," katanya. Menerusi sistem e-Kehakiman fasa dua juga, permohonan borang C Bahagian Kuasa Mati akan dinaik taraf dengan mempercepatkan tempoh proses perundangan berkenaan kepada tiga hingga lima minit berbanding masa dua hingga tiga hari ketika ini, katanya. Sistem e-Kehakiman fasa dua juga akan diintegrasi dengan agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Insolvensi Malaysia dan Pejabat Tanah dan Galian. Arifin berkata, pelaksanaan sistem e-Kehakiman fasa satu dibuat secara projek perintis di Mahkamah Kuala Lumpur sebelum diperluaskan ke tujuh lokasi mahkamah iaitu Putrajaya, Shah Alam, Johor Baharu, Pulau Pinang, Ipoh, Kota Baharu dan Kuala Terengganu. Sistem sedia ada dalam projek fasa satu merangkumi e-Filing, Sistem Pengurusan Kes (CMS), Sistem Pengurusan Giliran (QMS) dan Transkripsi Rakaman Mahkamah (CRT). "Projek e-Kehakiman fasa satu hanya melibatkan kes sivil sahaja manakala skop fasa dua akan melibatkan kes sivil dan kes jenayah untuk dilaksanakan di lima jenis mahkamah dan 20 lokasi mahkamah termasuk enam lokasi utama di seluruh Semenanjung," jelasnya.-- Bernama