KUALA LUMPUR: Ejen dan majikan pekerja asing kini boleh membuat pembayaran yuran pemeriksaan kesihatan pekerja asing mereka secara dalam talian melalui portal Pos Online (Pos Malaysia). Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) Datuk Mohd Hatar Ismail berkata kemudahan itu adalah alternatif selain kaedah pembayaran menggunakan draf bank, cek, wang pos dan melalui CIMB Clicks. "Kami telah menyediakan lebih pilihan kepada pelanggan untuk membuat pembayaran yuran pemeriksaan kesihatan pekerja asing melalui portal Pos Online di www.posonline.com.my mengikut waktu operasi standard Pos Malaysia," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat. Katanya, adalah menjadi tanggungjawab Fomema menampung keperluan pelanggan untuk kemudahan dan perkhidmatan yang pantas serta selesa bagi membuat pembayaran secara dalam talian sama ada di rumah atau pejabat. Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata para majikan dan ejen pekerjaan yang berurusan dengan Fomema terutama dalam proses pembayaran pemeriksaan kesihatan pekerja asing akan menikmati transaksi urusan lebih pantas dan mudah. Sistem pembayaran elektronik ini turut memudahkan proses pemantauan rekod pembayaran oleh pihak majikan agar sentiasa mematuhi etika perniagaan dan perundangan yang ditetapkan, katanya dalam kenyataan sama. - Bernama