suria

60 Pati Ditahan Di One Utama

PETALING JAYA: Seramai 60 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) ditahan dalam Operasi Penguatkuasaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di pusat membeli-belah One Utama di sini pada Khamis lalu.

Operasi bermula pukul 6.05 petang dan berakhir 8.20 malam melibatkan 59 orang anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen Putrajaya, Selangor dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menurut kenyataan media yang diedarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Datuk Seri Sakib Kusmi pada Sabtu, seramai 84 orang telah diperiksa dan dari jumlah berkenaan 60 tlah ditahan.

"Pati yang ditahan terdiri daripada warganegara Myanmar (27  lelaki, 2 wanita), Bangladesh 12 orang (11 lelaki, 1 wanita, Indonesia (5 lelaki, 5 wanita) dan lain-lain (8 lelaki, 1 wanita).

"Kesemua yang ditahan akan ditempatkan di depot tahanan imigresen untuk siasatan dan tindakan susulan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peratiran Imigresen 1963," jelas kenyataan tersebut.

Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dokumen palsu dan pemegang kad UNHCR yang tidak diiktiraf dan lain-lain kesalahan.

Ops penguatkuasaan bersama agensi-agensi berkaitan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warganegara asing yang melanggar peruntukkan undang-undang negara.

Sejak operasi tersebut dilaksanakan pada 19 Februari hingga 8 Mac lalu dengan sebanyak 654 operasi telah dijalankan dan seramai 12,567 warga asing telah diperiksa.

Manakala seramai 4,114 Pati dan 118 majikan telah ditahan untuk tindakan. Warga Indonesia mencatat jumlah paling tinggi yang ditahan iaitu 1,221 diikuti Bangladesh (1,177), Myanmar (408), Filipina (338), Nepal (258), Thailand (152), Vietnam (138), Pakistan (132) dan selebihnya adalah lain-lain negara.

Selain itu, warganegara Malaysia mencatat jumlah majikan paling tinggi ditangkap iaitu 110,  3 majikan warga Indonesia, manakala satu majikan melibatkan negara Thailand,Pakistan, Yemen, Cambodia dan Bangladesh.

"JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak menggaji dan melindungi Pati atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang".

JIM juga meminta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil  untuk membantu melaksanakan penguatkuasaan .

Dalam pada itu, majikan juga digalakkan untuk menyertai Program Penggajian dan Penempatan Semula Pati yang telah dimulakan pada 15 Februari lalu.