suria

Tun M Bukan Lagi Penasihat Petronas

Tun Dr Mahathir Mohamad di pejabatnya di tingkat 86, Menara Berkembar Petronas, Kuala Lumpur. -fotoBLOOMBERG
PETALING JAYA: Kabinet telah membuat keputusan sebulat suara menamatkan pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Penasihat Petroliam Nasional Berhad (Petronas) selepas beliau melancarkan Deklarasi Rakyat menuntut penyingkiran Datuk Seri Najib Tun Razak.

Langkah kerajaan itu menimbulkan persoalan mengenai jawatan lain yang dipegang bekas perdana menteri itu yang turut dilantik sebagai pengerusi Proton Holdings dan Yayasan Kepimpinan Perdana.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, Kabinet dalam mesyuaratnya membincangkan tindakan-tindakan Dr Mahathir khususnya dalam melancarkan Deklarasi Rakyat bersama pemimpin pembangkang pada minggu lepas.

Menurut kenyataan itu, deklarasi tersebut bertujuan menjatuhkan kerajaan menerusi satu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang dan perlembagaan negara.

"Kabinet berpendapat oleh kerana Dr Mahathir tidak lagi mendukung kerajaan sedia ada, beliau sewajarnya tidak lagi memegang sebarang jawatan yang ada kaitan dengan kerajaan," menurut kenyataan itu.

Dr Mahathir dilantik sebagai penasihat Petronas selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri pada 2003.

Pada Disember 2013, beliau mengumumkan untuk meletakkan jawatan atas nasihat doktor yang mahu beliau mengurangkan aktivitinya.

Najib menggesa Dr Mahathir memikirkan semula keputusannya dan Dr Mahathir bersetuju untuk terus kekal.

Dr Mahathir juga telah dilantik sebagai Pengerusi Proton pada 16 Mei 2014, dua tahun selepas DRB Hicom membeli 42.7 peratus pegangan  dalam Proton daripada Khazanah Nasional Bhd dengan nilai RM1.29 bilion.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata penamatan Dr Mahathir adalah hak kerajaan.

"Beliau telah dilantik oleh kerajaan untuk menjadi penasihat, tetapi kritikannya terhadap kerajaan telah membuatkan kedudukannya tidak dapat dipertahankan.

"Keputusan yang dibuat adalah wajar," kata Abdul Rahman, yang juga Ketua Komunikasi Strategik Barisan Nasional dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata beliau sedih dan kesal dengan keadaan itu sambil menambah kerajaan tidak mempunyai pilihan.

"Bukan kita tidak mengiktiraf sumbangan beliau selama ini, tetapi adalah sesuatu yang janggal untuk Tun Mahathir kekal sebagai penasihat dan pada masa yang sama mengkritik perdana menteri.

"Selain itu, Tun Mahathir juga telah menyertai  pembangkang untuk menyerang kita. Ini bukan caranya, Tun Mahathir telah menjadi pembangkang," kata Tajuddin, yang juga anggota MT Umno.

Seorang lagi ahli MT Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, keputusan itu adalah tepat.

"Dr Mahathir sendiri sepatutnya meletak jawatan selepas secara terbuka menyerang kerajaan dan perdana menteri.

"Adalah sesuatu yang tidak betul untuk membenarkan seseorang memegang jawatan penting seperti itu dan menggunakan segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan untuk menyerang kerajaan," kata Puad.

Seorang pembantu kepada Dr Mahathir, ketika dihubungi berkata beliau tidak akan mengeluarkan apa-apa komen balas serta-merta, manakala Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal yang juga telah menyatakan sokongan untuk deklarasi itu, enggan mengulas.

Blogger dan bekas editor akhbar Datuk Abdul Kadir Jasin berkata memandangkan Dr Mahathir merupakan watak utama dalam deklarasi itu dan secara berterus terang menyeru Najib meletak jawatan, penyingkirannya sebagai penasihat Petronas adalah dijangka.

"Ini menunjukkan bahawa pentadbiran sekarang tidak bertoleransi terhadap kritikan," kata Kadir.

Artikel Lain