JASIN: Badan Perhubungan Umno Melaka mencadangkan agar mana-mana pemimpin atau anggota Umno meninggalkan parti itu sekiranya masih berasa ragu-ragu dengan kepimpinan sedia ada, kata Pengerusinya Datuk Seri Idris Haron. Beliau yang juga Ketua Menteri Melaka berkata tindakan itu perlu bagi memastikan parti itu kukuh dan memiliki anggota yang bersatu hati. "Kita mestilah bersatu dalam segala-segalanya...mesti semuanya bersatu hati, bersatu fikiran dan bersatu tindakan, barulah parti boleh memenangi pilihan raya akan datang. "Kita tidak mahu ada yang separa hati dalam perjuangan ini kerana itu mungkin akan menjadi pencetus kepada kekecewaan parti di masa akan datang," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Terdahulu, beliau merasmikan Persidangan Berkelompok Umno Bahagian Jasin 2016 di Lipat Kajang di sini yang dihadiri lebih 300 anggota Umno bahagian tersebut. Idris berkata parti itu sentiasa memberikan sokongan penuh kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Presiden Umno dan meminta agar mana-mana pihak yang cuba mencemar kedudukan presiden atau institusi presiden, diambil tindakan. Beliau berkata mereka itu bukan sahaja perlu dipecat dan disingkirkan jawatan serta keanggotaan mereka, bahkan sepatutnya melepaskan jawatan mereka. "Hari ini kita tidak boleh menoleh kiri kanan, tidak boleh mendengar tohmahan dan fitnah yang menjurus kepada permainan persepsi ini. "Kita perlu terus berhadapan dengan musuh dan memastikan parti ini menang pada pilihan raya akan datang dan terus relevan," katanya. Sementara itu, di TAWAU, Jawatankuasa Umno Bahagian Tawau hari ini mengambil ketetapan bersatu dan berikrar memberi sokongan padu tidak berbelah bahagi kepada Najib sebagai presiden parti dan Pengerusi Barisan Nasional (BN). Ketua Umno Bahagian Tawau Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata Umno Tawau juga mengutuk sekeras-kerasnya Deklarasi Mahathir serta kesal dengan tindakan mantan presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersekongkol dengan pembangkang. "UMNO Tawau juga mendesak kerajaan bertindak tegas, menguatkuasakan segala peruntukan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat sistem pemerintahan negara," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Umno Bahagian Tawau hari ini. Di CAMERON HIGHLANDS, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata BN negeri itu menyatakan pendirian akan terus berdiri teguh di belakang Najib dalam menghadapi cabaran politik semasa. "Sebarang usaha untuk mengetepikan Najib sebagai perdana menteri tanpa melalui pilihan raya bertentangan dengan prinsip demokrasi yang dipertahankan oleh BN," katanya kepada pemberita pada hari terakhir sesi pemukiman yang dihadiri 44 anggota jawatankuasa BN Pulau Pinang yang diadakan sejak Jumaat lalu, hari ini.