PETALING JAYA: Aksi parodi menggunakan aplikasi Dubsmash diangkat oleh anak muda ini bagi mengetengahkan bakat tarian dan lakonannya di media sosial. Diberi jolokan 'Raja Dubsmash Malaysia', aksi Yusof Hashim, 23, atau lebih dikenali sebagai Ucop mencuri perhatian ramai. Dengan lebih setengah juta pengikut di laman sosial Instagram @ucopppp, video Dubsmash Ucop sentiasa menghiburkan. Sama ada berpakaian wanita, berambut palsu, parodi menyanyi, menari atau berlakon, aksi Ucop pastinya mencuit hati. Ucop yang mula aktif membuat video Dubsmash pada pertengahan tahun lalu berkata, beliau tidak menyangka video yang dimuat naik di Instagramnya mendapat sambutan luar biasa memandangkan ia sekadar meniru lakonan dan nyanyian sedia ada. "Apa yang saya buat semuanya berdasarkan bahan sedia ada dan hanya melakukannya dengan cara saya sendiri. "Saya memang tak jangka sambutannya tetapi saya terharu apabila ramai yang menghargai setiap lakonan dan penceritaan saya," katanya kepada mStar Online. Ucop yang merupakan penari bebas berkata, video Dubsmash karyanya yang paling mendapat sambutan ialah aksi parodi lakonan Fazura dalam filem Manisnya Cinta Di Cappadocia. Setakat ini, video berkenaan mencatatkan hampir 70,000 'like'. Antara lain yang menjadi sebutan sehingga dikongsi banyak kali di media sosial ialah video parodi lakonan pelakon Sharifah Sakinah dalam telemovie Girlfriend Aku Dari Neraka. Ternyata pelbagai aksi menghiburkan Ucop membolehkan pemuda ini dicalonkan bagi kategori Ikon Selebriti Media Sosial Pilihan Online menerusi Anugerah Pilihan Online APO 2016 yang julung kali dianjurkan tahun ini. Bagaimanapun Ucop masih memerlukan sokongan anda untuk membolehkan beliau menempa tiket ke final APO 2016 jika berjaya menduduki lima teratas bagi kategori berkenaan. "Anda semua terutama pembaca mStar Online dan pengikut saya di media sosial boleh menghantar pencalonan saya sebagai tanda sokongan yang mungkin melayakkan saya ke lima teratas. Sokongan anda amat saya hargai," kata Ucop yang berpeluang berlakon di samping Sharifah Sakinah dalam telemovie 'Dua' arahan Nizam Zakaria yang ditayangkan di Astro Ria baru-baru ini. Hanya pencalonan terbanyak akan berpeluang ke peringkat seterusnya iaitu pengundian lima calon teratas APO2016. Jika Ucop pilihan anda, jangan tunggu lama-lama, hantarkan pencalonan untuk kategori Ikon Selebriti Media Sosial Pilihan Online bagi anugerah ini. Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my APO 2016 dianjurkan bersama mStar Online dan Suria FM, dan dihebatkan oleh Dnars sebagai penaja rasmi. Ia akan disiarkan secara langsung pada 30 April depan menerusi TV2 pada pukul 9 malam bertemakan Glam Digital.