suria

Fashionista Tempatan Rebut Gelaran Ikon Fesyen #APO2016

PETALING JAYA: Perkembangan pesat industri fesyen tempatan kini semakin diterima ramai hingga melangkaui batas gender dan usia.

Malah dunia fesyen muslimah yang mementingkan penampilan sopan namun elegan turut tidak terkecuali daripada tempias modenisasi trend fesyen terkini.

Selain peranan yang dimainkan pereka fesyen profesional tempatan dalam mengetengahkan gaya terkini mengikut peredaran zaman, individu termasuk golongan selebriti turut menjadi panduan di kalangan masyarakat.

Menjadikan media sosial sebagai platform untuk berkongsi minat dalam berfesyen, gaya dan penampilan fashionista ini ada kalanya menjadi trendsetter kepada mereka yang berani untuk tampil berbeza.

Sekadar menyebut beberapa nama, Wak Doyok cukup terkenal dengan imej bermisai dan berjanggut tebal ala maskulin era Inggeris 60-an, pelakon dan pengacara Neelofa pula kini dilihat mewakili ikon fesyen wanita muslimah sementara model cilik, Rizqie Zaidani atau Ikie Coki sering mendapat perhatian pencinta fesyen.

Sehubungan itu Anugerah Pilihan Online 2016 (APO2016) yang bakal berlangsung pada 30 April depan akan mengiktiraf sumbangan mereka dalam mendidik masyarakat terutamanya mengenai perkembangan fesyen terkini.

Selain Wak Doyok, Neelofa dan Rizqie, antara nama lain yang tersenarai dalam pencalonan awal bagi kategori Ikon Fesyen Pilihan Online ialah pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Al Yahya, pereka fesyen terkenal Ezuwan Ismail dan Jovian Mandagie serta pelakon Nur Fazura.

Pembaca mStar Online dan pendengar Suria FM boleh terlibat dalam pengundian awal untuk mencari lima pencalonan utama bagi setiap kategori yang dibuka bermula 3 Mac hingga 31 Mac.

Selepas itu proses pengundian lima pencalonan bagi mencari pemenang utama setiap kategori pula dibuka bermula 1 April hingga 27 April depan.

Pencalonan dan pengudian secara dalam talian boleh dibuat dengan melayari laman web khas iaitu http://apo.mstar.com.my/calon-apo.aspx

Anugerah yang bertemakan Glam Digital itu bakal bersiaran secara langsung di TV2 pada 30 April depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain