BUKIT MERTAJAM: Seorang bapa kepada tiga anak ditangkap kerana mencuri di sebuah pasar raya di sini. Bagaimanapun dia tidak dihukum malah sebaliknya ditawarkan untuk bekerja di pasar raya berkenaan. Lelaki berusia 31 tahun itu yang enggan namanya disiarkan berkata beliau bersyukur kerana diberi peluang kedua dan kerja serta tidak diserahkan kepada polis selepas kejadian pada Rabu lepas. Katanya, dia mencuri beberapa barangan makanan bernilai RM27 dari Pasar Raya Tesco di Alma kerana anak-anaknya berada dalam kelaparan namun dia tidak mempunyai wang. "Saya terpaksa berhenti kerja sebagai pekerja kontrak selepas isteri saya koma akibat komplikasi ketika melahirkan anak minggu lepas. Dia masih dirawat di hospital Bukit Mertajam," kata lelaki itu yang keluarganya berasal dari Kuala Nerang, Kedah. Beliau kini menumpang di rumah saudara di Alma. Katanya, pada hari kejadian dia sedang berjalan ke rumah saudaranya itu selepas melawat isterinya di hospital dengan anak lelaki berusia dua tahun. Menurutnya lagi, mereka kemudiannya melalui kawasan Tesco pada kira-kira pukul 6 petang. "Selepas berjalan selama lebih daripada satu jam, kami pergi ke bahagian makanan dan saya mengambil pear, epal dan beberapa botol minuman," katanya sambil menambah bahawa dia telah ditangkap ketika hendak berjalan keluar. Pengurus Besar Tesco Alma, Radzuan Ma'asan yang menyoalsiasat lelaki itu memutuskan untuk mengambil pendekatan yang berbeza dalam menangani jenayah tersebut. Selain memberi amaran kepadanya supaya tidak mencuri lagi, dia juga menawarkan lelaki itu untuk bekerja. "Keadaan lelaki itu benar-benar menyentuh hati kami. Kami melawat rumah saudaranya itu. Ia begitu kosong dan susah," katanya pada Isnin. Radzuan berkata kakitangannya melawat isteri lelaki itu yang kini sudah sedar daripada koma. Bayi mereka bagaimanapun gagal diselamatkan. Radzuan berkata pihkanya bagaimanapun masih belum membuat keputusan mengenai jenis pekerjaan yang ingin ditawarkan kepada lelaki itu. "Dia bukan seorang pencuri tegar. Apabila kita bertanya kepadanya, dia terus mengaku dengan mengatakan bahawa dia mencuri buah-buahan dan minuman kerana anaknya lapar. "Selama 23 tahun pengalaman saya dalam bidang peruncitan, saya tidak pernah menemui pencuri yang mengakui perbuatan mereka dengan begitu mudah. "Kebanyakan akan memberi pelbagai jenis alasan. Beliau juga memberitahu kami bahawa dia tidak dapat bekerja kerana perlu menjaga tiga anaknya yang berusia antara dua hingga tujuh tahun. "Jadi, kami mengambil keputusan untuk tidak membuat laporan polis kerana ini adalah kes kemiskinan yang melampau. "Buat masa ini, keutamaan kami adalah untuk memastikan bahawa dia mendaftarkan anak lelakinya berusia tujuh tahun ke sekolah," kata Radzuan, yang menyerahkan wang tunai kepada lelaki itu untuk menampung perbelanjaan hariannya.