PETALING JAYA: Jentera Deklarasi Rakyat bakal memperhebatkan gerak kerja di semua peringkat dengan merangka hala tuju yang jelas bagi mendapat sokongan rakyat. Tanggal 27 Mac ini ditetapkan untuk kira-kira 1,500 kepimpinan pelbagai latar belakang yang menyokong Deklarasi Rakyat akan berkumpul di Shah Alam bagi membuat ketetapan berhubung beberapa isu penting. Koordinator Ad-hoc Deklarasi Rakyat, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, sekretariat sepenuh masa akan ditubuhkan untuk memantapkan gerak kerja bermula di peringkat akar umbi. "Selepas 45 tokoh ternama di kalangan pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, ketua masyarakat serta ahli politik menandatangani deklarasi rakyat pada 4 Mac lalu, kini untuk fasa seterusnya pihak sekretariat dalam proses menyiapkan dokumen untuk ditandatangani rakyat. "Gerak kerja dan program penerangan di seluruh tanahair juga disusun mulai April ini," katanya kepada mStar Online. Bekas naib ketua Umno Bahagian Batu Kawan ini berkata, konvensyen rakyat pada 27 Mac ini diatur untuk pemimpin Deklarasi Rakyat bersidang dan berkongsi pendapat bagi memperkemaskan jentara. Selain itu, beliau mendakwa, sambutan hangat diterima di peringkat akar umbi setakat ini di mana dianggarkan 70 peratus rakyat menyokong deklarasi rakyat. Malahan, beliau menyifatkan perjumpaan Deklarasi Rakyat pertama pada 4 Mac sebagai sejarah negara di mana tokoh pemimpin pelbagai pertubuhan dan parti politik mengenetepikan perbezaan pendapat dan fahaman untuk bersatu melawan salahlaku serta amalan rasuah di negara ini. "Deklarasi Rakyat tetap mendesak Najib Tun Razak untuk berundur sebagai perdana menteri demi menyelamatkan negara tercinta ini," katanya sambil menambah ia adalah usaha jangka panjang untuk mencapai matlamat itu.