suria

Wanita Dipercayai Maut Dijerut Guna Tudung - Polis

Mohd Yusoff Mamat

SUBANG JAYA: Wanita yang mayatnya ditemui dalam beg pakaian di Meru, Klang mungkin akibat dijerut hingga mati menggunakan tudungnya.

Beg pakaian yang memuatkan mayat wanita itu yang hampir reput dibuang di tepi longkang Jalan Belimbing, Kampung Bukit Kaparat kira-kira 11.30 pagi, Isnin.

Wanita itu dipercayai meninggal dunia antara tiga hingga lima hari lalu.

Mayatnya dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil bedah siasat menunjukkan ada tiga kesan pergelutan pada leher mangsa.

"Mangsa setinggi kira-kira 1.5 meter dan mengenakan kemeja-t ungu dan seluar panjang hitam.

"Tiada dokumen pengenalan diri ditemui bersamanya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, pasukan tindakan khas melibatkan pegawai polis Klang Utara dan ibu pejabat Selangor telah diarah menyiasat kes berkenaan.

Beliau juga menasihatkan masyarakat supaya tidak memuatnaik maklumat yang tidak disahkan mengenai kes berkenaan di media sosial.

"Kes itu menjadi viral di media sosial. Malahan ada yang mengaitkannya dengan kegiatan perdagangan organ manusia, juga ada spekulasi mangsa adalah kanak-kanak.

"Tolong beri ruang untuk polis menjalankan siasatan dan jangan sebarkan maklumat yang tidak disahkan benar," katanya.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.



Artikel Lain