KUCHING: Dua wartawan Australia yang ditahan kerana cuba untuk bertanya soalan kepada Perdana Menteri pada Sabtu lalu lega dan menyimpulkan pengalaman yang mereka lalui sebagai 'roller coaster'. Wartawan Australia Broadcasting Corporation (ABC), Linton Besser dan jurukamera Louie Eroglu dihantar pulang pada Selasa selepas tuduhan cuba menghalang tugas penjawat awam digugurkan. Mereka dihantar pulang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching ke Singapura sebelum meneruskan perjalanan ke Australia. Kedua-dua mereka ditahan di Kota Sentosa, Kuching kira-kira pukul 8.35 malam pada 12 Mac kerana "gagal mematuhi arahan polis untuk tidak melanggar garis keselamatan" semasa lawatan Datuk Seri Najib Tun Razak ke masjid. "Saya lega kerana semuanya berakhir tetapi saya tidak boleh memberi komen panjang kerana perlu mengejar penerbangan dengan segera," kata Besser kepada pemberita di lapangan terbang. "Banyak perkara yang berlaku. Ia seperti satu coaster roller tetapi ia hampir berakhir. Kami perlu menaiki penerbangan ini," katanya. "Sarawak adalah tempat yang indah, dan saya berharap untuk datang lagi ke sini bercuti dengan keluarga saya satu hari nanti," katanya menjawab soalan sama ada penahanannya itu merupakan satu pengalaman yang buruk kepadanya apabila melawat negara ini. "Saya suka untuk kembali," kata Besser.