KUALA LUMPUR: Cadangan mewujudkan rumah perlindungan khas sebagai penempatan sementara bagi lelaki yang didera isteri, kini dilihat sebagai satu tindakan wajar dan perlu. Pensyarah dalam bidang Psikologi Kaunseling di Universiti Kebangsaan Malaysia Muhammad Ajib Abd Razak berkata di negara barat, rumah perlindungan sedemikian telah lama wujud, malah pelbagai modul dan intervensi digunakan secara komprehensif bagi membantu golongan berkenaan. "Hal ini kerana, masyarakat barat bersifat terbuka dan berpaksikan prinsip hak asasi manusia," katanya kepada Bernama di sini. Berbeza di Malaysia, rumah perlindungan sedemikian mungkin tidak dilaksanakan lagi disebabkan persepsi negatif, stigma dan prejudis terhadap golongan suami yang didera itu. "Ini melihat kepada situasi dalam konteks amalan budaya, agama, bangsa dan etnik masyarakat di negara ini iaitu suami dilihat selaku simbol pemimpin dan pembimbing ke atas kaum isteri," katanya. Justeru, Muhammad Ajib berkata pelaksanaan cadangan itu juga perlu mengambil kira aspek kerahsiaan dan perlindungan peribadi mereka yang terlibat. "Cadangan ini juga dilihat dapat memberikan ruang kepada lelaki terbabit untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih baik dalam permasalahan rumah tangga. Mereka juga perlukan bantuan perundingan seperti kaunseling, nasihat daripada golongan ulamak atau anggota keluarga," katanya. Baru-baru ini Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata kerajaan akan mempertimbangkan cadangan membina rumah perlindungan khas bagi lelaki yang menjadi mangsa dalam keganasan rumah tangga. Rohani berkata golongan itu turut berdepan dengan situasi sama seperti wanita. Orang ramai yang ditemui Bernama bagi mengulas cadangan itu turut memberikan reaksi positif. Mohd Azlan Abu, 35, berkata cadangan itu adalah relevan dengan kehendak zaman:"Rumah perlindungan itu boleh dijadikan sebagai pusat sementara untuk mencari ketenangan. Kesan yang diterima oleh lelaki adalah sama seperti wanita dan boleh mengakibatkan lelaki itu turut hilang keyakinan diri," katanya lagi. Selain itu, Hafis Mazlan, 45, berkata cadangan pembinaan itu perlu dilengkapkan dengan modul tertentu dan bersesuaian. "Lelaki yang didera juga boleh mengalami kesan trauma sehingga menjadi terlalu curiga dan panik apabila berhadapan dengan wanita," katanya.