PUTRAJAYA: Datuk Abd Aziz Aban secara rasmi bertukar tempat dengan Datuk Moh Samsudin Yusoff sebagai Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan Putrajaya. Moh Samsudin mengambil alih jawatan Abd. Aziz di Kelantan. Pelantikan mereka berkuat kuasa semalam, kata SPRM dalam satu kenyataan dikeluarkan sempena majlis penyerahan tugas di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Putrajaya di Presint 15 di sini. Moh Samsudin pada majlis itu meminta semua pegawai SPRM di Wilayah Persekutuan Putrajaya memberi kerjasama sepenuhnya kepada Abd Aziz dan melaksanakan tugas dengan baik. "Kaedah penyiasatan di Putrajaya adalah berbeza berbanding tempat lain kerana ia melibatkan banyak kes berprofil tinggi," katanya. Seramai enam pegawai kanan SPRM terlibat dalam penukaran jawatan di bahagian dan negeri berkuat kuasa semalam. Pegawai kanan lain yang terlibat dalam penukaran tersebut termasuk Pengarah SPRM Selangor Datuk Simi Abd Ghani yang dilantik sebagai Pengarah SPRM Johor; Datuk Norazlan Razali sebagai Pengarah SPRM Selangor; Datuk Azmi Alias sebagai Pengarah SPRM Melaka dan Junipah Wandi sebagai Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi (BPIA). -- Bernama