KUALA LUMPUR: Dua rakan masing-masing dipenjara tiga tahun enam bulan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan menggalakkan perlakuan keganasan dan menyokong kumpulan pengganas Negara Islam (IS), atau dikenali militan Daesh. Hakim Ab Karim Wahab menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Muhammad Armie Fatihah Mohd Hashim, 24, dan Mohammad Hafiz Zahri Suparyatnoh, 29, dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap. Muhammad Armie, seorang penganggur ditangkap pada 6 April 2012 manakala Mohammad Hafiz Zahri, pembaik penghawa dingin ditangkap pada 28 April 2014. Sebelum ini kedua-dua tertuduh dihadapkan ke Mahkamah Majistret Taiping, Perak pada 23 Mei 2014 dan kes mereka kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini. Pada 20 Jun 2014, mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini terhadap pertuduhan tersebut tetapi hari ini mereka menukar pengakuan kepada bersalah. Muhammad Armie, didakwa mengikut Seksyen 130 J(1)(a) Kanun Keseksaan, menggalakkan perlakuan dan perbuatan keganasan dengan niat untuk memajukan suatu ideologi dengan niat mengugut orang awam di Syria, di Kampung Air Jernih, Ijok, Taiping antara 10 pagi, 4 April dan 12.30 tengah hari, 6 April 2014. Mohammad Hafiz Zahri pula didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas yang dikenali sebagai 'The Islamic State Of Iraq and Syam (ISIS)' dengan mewujudkan WhatsApp group 'Daulah Islamiyyah Malizia', di tempat, masa dan tarikh sama, mengikut Seksyen 130 G(a) Kanun Keseksaan. Kedua-dua seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun. Terdahulu, Hakim Ab Karim dalam penghakimannya berkata, kesalahan yang dilakukan Muhammad Armie adalah serius dan menjadi lebih serius sekiranya tertuduh pergi ke Syria, bagaimanapun mahkamah mengambil kira rayuan dan faktor umur yang masih muda sebelum menjatuhkan hukuman. Katanya, hukuman berbentuk penjara adalah wajar terhadap tertuduh dan dia harus tidak menyalahkan agama sebagai faktor penglibatan dalam kesalahannya. Bagi Mohammad Hafiz Zahri pula, Hakim Ab Karim Hakim berkata, selain mengambil kira rayuan tertuduh, mahkamah turut menimbangkan tindakan tertuduh yang mewujudkan WhatsApp dilihat tidak memberi impak negatif lain seperti kerosakan terhadap orang awam. Mengikut fakta kes, Muhammad Armie menggunakan laman sosial Facebook miliknya atas nama Armie Al-Fateh bagi berkomunikasi dan mendapatkan maklumat mengenai kumpulan pengganas di sini dan dia juga menyertai beberapa aktiviti seperti ilmu persilatan dan sesi usrah mengenai jihad yang dilakukan di Syria. Selain itu, dia juga menyertai perbincangan persediaan dan cara-cara bagaimana untuk memasuki Syria dan pengumpulan dana bagi menggerakkan kumpulan yang dinamakan 'Daulah Islamiah' ke Syria melalui WhatsApp. Mohammad Hafiz Zahri pula telah menghadiri satu perjumpaan yang antara lain menghasut dan mempengaruhi orang lain yang menyertai kumpulan itu dan dia juga turut mencadangkan satu kubu latihan di sebuah pulau, di Pulau Rimau, Pulau Pinang bagi membuat latihan jihad. Ketika rayuan peguam Wong Kar Fai yang mewakili Muhammad Armie, memohon hukuman ringan dengan mengambil kira pengakuan salah dan faktor perceraian kedua ibu-bapa anak guamnya ketika masih kecil telah memberi kesan sehingga anak guamnya terbabit dalam kumpulan pengganas tersebut. Peguam Farida Mohammad yang mewakili Mohammad Hafiz Zahri memohon mahkamah mengambil kira faktor umur anak guam yang masih muda dan tiada rekod kesalahan lampau. Timbalan Pendakwa Raya Julia Ibrahim memohom hukuman setimpal dan sewajarnya terhadap kedua-dua tertuduh yang terlibat dalam kes yang serius demi kepentingan awam. -- Bernama