suria

Tindakan Majlis Peguam Terhadap Apandi Bakal Cetus Masalah Lain

Datuk Abdul Rahman Dahlan
PETALING JAYA: Cubaan Majlis Peguam untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Peguam Negara hanya akan mencetuskan masalah lain, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.

"Majlis Peguam yang meminta semakan kehakiman berhubung keputusan Peguam Negara jelas menggunakan kuasa dan budi bicara hanya akan menimbulkan masalah lain," kata Abdul Rahman, yang juga Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional di Twitter  @mpkotabelud, Rabu.

"Jika semakan kehakiman terhadap keputusan Peguam Negara dibenarkan, maka ia dapat difikirkan bahawa mereka yang didakwa oleh Peguam Negara juga akan meminta seperti itu!" tulisnya.

Majlis Peguam pada Isnin memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali atas keputusannya menutup siasatan rasuah ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dinamakan sebagai responden.

Abdul Rahman menekankan beberapa fakta kes dan mengulangi bahawa keputusan Peguam Negara adalah selaras dengan undang-undang Malaysia.

"Sekarang mari kita khususkan mengenai kes PM yang diberi tumpuan oleh Majlis Peguam. Majlis Peguam perlu tahu beberapa fakta," katanya.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, menjelaskan bahawa derma dan transaksi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah diluluskan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), oleh itu tidak ada cara lain untuk transaksi itu dapat diteruskan tanpa kelulusan BNM.

"Kelulusan BNM juga bermakna wang itu sah. SPRM kemudian mempunyai sebab yang sangat sedikit untuk ia dikatakan sebagai rasuah," katanya.

"Derma politik adalah tidak salah dari segi undang-undang dan Umno memberikan kuasa yang luas kepada Presiden mengikut budi bicaranya untuk meningkatkan dan menyimpan wang itu. SPRM sendiri telah membuat kesimpulan derma itu datang dari Arab Saudi," katanya.

Presiden Majlis Peguam Steven Thiru berkata dalam permohonan itu, Majlis Peguam mahu agar keputusan Apandi Ali yang 'membersihkan' Najib daripada sebarang pertuduhan pada 26 Januari lalu diketepikan.

"Badan peguam mahu mahkamah menghalang Peguam Negara daripada membuat sebarang keputusan lanjut berhubung perkara itu, selain membenarkan Peguam Cara Negara memutuskan hal berkenaan, termasuk sama ada mendakwa Najib atau tidak.

"Badan Peguam juga memohon perintah mahkamah membenarkan SPRM meneruskan siasatan dalam kes yang diarah tutup oleh Apandi sebelum ini," kata dalam satu kenyataan, Selasa.

Keputusan memfailkan permohonan itu dibuat berdasarkan pendapat bahawa kuasa pendakwaan berdasarkan budi bicara Peguam Negara mengikut Artikel 145(3) Perlembagaan Persekutuan tidak bersifat mutlak atau tidak terbatas.

Pengamalan kuasa ini boleh dicabar melalui semakan kehakiman.

Artikel Lain