ASSALAMUALAIKUM. Minggu lalu saya bercerita mengenai wanita yang perlu menjaga maruah dan kehormatan diri di Tanah Suci atau di mana sahaja mereka berada. Minggu ini, sekali lagi saya mahu menulis perihal wanita jemaah umrah di Makkah dan Madinah, terutama membabitkan aurat, cara berpakaian dan bertudung. Jika suatu ketika dahulu, sekitar tahun 2000, tidak dinafikan purata wanita yang berkunjung ke kota suci akan memelihara aurat mereka begitu rapi dan kemas. Bertudung labuh ketika berziarah, bertelekung sewaktu hendak ke masjid untuk solat berjemaah dan terus bertudung mengikut syariat sewaktu membeli-belah. Namun, sejak kebelakangan ini, segelintir wanita adakala memandang ringan perihal aurat. Apabila melihat keadaan seumpama itu, saya akan menegur atau menasihatkan, tidak kiralah sama ada jemaah atau rombongan saya atau sebaliknya. Pernah saya menegur seorang wanita lebih berusia di dalam Masjid Nabawi kerana memakai stoking jarang yang jelas menampakkan warna kulit. Antara lain kata saya: “Assalamualaikum Puan. Maaf ye. Stoking yang Puan pakai tidak sesuai untuk solat,” ujar saya. “Kenapa?” tanya wanita berkenaan. “Stoking Puan jarang dan nampak kulit kaki. Elok Puan pakai stoking tebal atau yang macam orang lelaki selalu pakai,” ujar saya. “Baiklah. Terima kasih ye kerana bagitahu saya,” balas beliau sambil tersenyum. Alhamdulillah, wanita itu tidak pula marah atau menarik muka dengan teguran saya itu. Selalunya saya memohon maaf terlebih dahulu sebelum menegur seseorang kerana bimbang yang ditegur kurang selesa dan menganggap saya berlebihan. Namun ada juga teguran saya dibalas dengan kritikan. Masih saya ingat lagi ketika itu saya menegur sekumpulan wanita Pakistan yang tidak berstoking dan bersolat. Saya katakan mereka perlu menutup kaki ketika solat kerana aurat wanita hanya wajah dan dua tapak tangan. Teguran saya menyebabkan seorang daripada mereka mengatakan tidak salah bersolat tanpa menutup kaki dan menunjukkan cincin di jari saya haram dipakai ketika solat dan kritikannya itu menimbulkan kehairanan. Saya lantas bertanya apa yang salah pada cincin di jari manis saya dan mereka mengatakan tidak sah wuduk kerana saya mengenakan cincin kerana kemungkinan air wuduk tidak kena pada jari saya. Saya diam dan kami berpandangan. Malas saya hendak melayan mereka dan akhirnya kami membuat haluan masing-masing selepas solat Isyak. Ketika menunaikan umrah beberapa tahun lalu, saya menasihatkan seorang jemaah yang juga sahabat kenalan saya agar mengenakan tudung labuh ketika berziarah dan tidak berpakaian ketat kerana boleh menarik perhatian bukan mahram. Jemaah itu berusia dalam lingkungan lewat 20, belum berkahwin dan graduan luar negara. Sebelum menunaikan umrah, beliau tidak bertudung tetapi Alhamdulillah beliau tergerak hati untuk menunaikan umrah. Ketika berkunjung ke rumahnya ketika beliau mengadakan kenduri doa selamat, saya berkesempatan untuk meninjau bagasinya setelah kenalan saya meminta saya berbuat demikian. “Ana, awak tengoklah dulu beg Aida. Jangan banyak sangat dibawa nanti ke sana,” ujar kenalanku, Murni. “Boleh ke? Aida tak kisah ke kalau Ana tengok bagasi dia?” tanya saya terasa tidak selesa. “Ala, boleh. Kali pertama dia nak pergi umrah. Tolonglah tengokkan,” ujar Murni lagi. Tanpa berlengah kerana malam semakin larut, saya masuk ke dalam bilik Aida bersama-sama Murni untuk melihat beg Aida. “Oklah, tak banyak Aida bawa. Tapi pastikan Aida bawa tudung labuh untuk ziarah atau berjalan-jalan,” pesan saya. “Baiklah, terima kasih hajah,” balas Aida tersenyum. Tiba hari dinanti, berangkatlah Aida bersama-sama mak saudaranya menyertai rombongan jemaah umrah saya. Segala-galanya berjalan lancar sepanjang perjalanan ke kota Madinah. Pada hari kedua di Madinah Munawwarah, Aida mengajak saya keluar ke sekitar bazar di kota suci itu sesudah solat Subuh dan bersarapan di hotel. Saya menunggu Aida dan mak saudaranya di lobi hotel. Ketika itu, seorang daripada jemaah sebilik dengan saya turut serta. Sejurus terlihat Aida, spontan saya bertanya: “Kenapa pakai tudung pendek?” ujar saya kehairanan. “Orang lain boleh, kenapa saya tak boleh?” kata Aida menyoal saya pula. “Jangan ikut orang…” balas saya ringkas. Aida diam. Begitu juga saya. Kami berjalan dari sebuah bazar ke sebuah bazar sehingga akhirnya kami masuk ke dalam sebuah kedai minyak wangi. Saya perhatikan penjual begitu asyik memandang Aida manakala Aida pula membelek botol haruman yang cantik, pelbagai saiz dan bentuk. Penjual mencalit minyak wangi di tangan dua lagi jemaah dan dengan sekelip mata mencalit haruman pada dada Aida yang bertudung singkat dan menampakkan bentuk payu dara. Kami semua terkejut dengan tindakan penjual itu. “Gatal pula penjual ni. Dia ambil kesempatan pada awak Aida,” ujar saya spontan. Saya lihat wajah Aida berubah serta merta manakala mak saudara Aida dan seorang lagi jemaah terkejut sehingga tidak berkata apa-apa. Saya mengajak mereka keluar dari kedai minyak wangi itu dan tidak sebotol pun haruman yang kami beli. Kami berlalu pergi dan terus pulang ke hotel penginapan. Saya lihat Aida muram sahaja manakala mak saudaranya asyik berleter. Ketika bertemu Aida setelah solat Zuhur, saya menasihatkannya sekali lagi agar tidak memakai tudung yang singkat hingga menampakkan dada kerana boleh menarik perhatian lelaki. “Kita jangan ikut orang Aida. Biarlah mereka nak berpakaian macam mana tapi kita jagalah adab dan cara berpakaian kita,” pesan saya. “Baiklah hajah. Tak sangka saya penjual tu boleh calit minyak wangi di dada saya. Malu saya,” ujar Aida dengan nada kesal. “Tak mengapalah Aida. Perkara dah nak jadi. Semua itu pengajaran pada semua,” balas saya pula. “Terima kasih hajah,” ujar Aida. Sejak kejadian itu Aida hanya memakai tudung labuh dan sekembali ke tanah air, Aida yang bertubuh agak gempal berhijab sehingga sekarang dan terus mendekatkan diri kepada Allah serta rajin menimba ilmu agama. Alhamdulillah. Tidak dinafikan, adakala jemaah wanita kita terikut-ikut dengan cara berpakaian jemaah dari negara lain. Namun, kita perlu ingat yang baik dijadikan teladan dan buruk dijadikan sempadan. Bukan setiap yang dipandang wajar dan boleh dijadikan ikutan. Bukan Aida sahaja yang pernah menggunakan alasan orang lain boleh malah ramai lagi jemaah pernah mengatakan sedemikian kerana memandang ringan dan mudah setiap yang dilakukan. Kita perlulah saling mengingatkan apabila terpandang kesilapan kerana adakala setiap perlakuan serta perbuatan itu mungkin tidak disengajakan. Pernah ibu saya meminta saya menegur seorang wanita yang mungkin tidak sedar mengangkat jubah dan seluar panjangnya agak tinggi sehingga menampakkan betis. Kadangkala kita tidak mampu menegur dan menasihati, justeru, jika anda terlihat keadaan seumpama itu, tegurlah secara berhemah. Hakikatnya, terbit perasaan bimbang pada diri saya sendiri kerana tidak terlepas daripada kealpaan dan kelalaian. Justeru, sebelum melangkah ke Tanah Suci saya memohon agar Allah melindungi segala aib saya. Bagi lelaki yang membawa anak-anak perempuan dan isteri, sebaik-baiknya prihatin terhadap aurat dan cara berpakaian. Begitu juga di kalangan bapa yang membawa anak perempuan, tegur dan pesanlah anak-anak mereka agar memelihara aurat dan kehormatan diri. Kesopanan dan ketertiban perlu dijaga sewajarnya walau di mana kita berada, apatah lagi jika di Tanah Suci yang dibanjiri jutaan umat Islam dari seluruh pelosok dunia. Jangan pandang ringan adab berpakaian ketika berziarah mahupun berkunjung ke mana-mana kerana aurat bukan sekadar dijaga ketika solat semata-mata. Ikuti catatan saya minggu hadapan, insyaAllah.