suria

Cuaca Panas Tidak Ganggu PLKN 2.0

KUALA LUMPUR: Cuaca panas dialami negara ketika ini tidak akan mengganggu perjalanan Program Transformasi Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 yang dijadual bermula 26 Mac ini.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Mohmed Asri Yusuf berkata, sebaliknya modul latihan program itu termasuk aktiviti luar akan berjalan seperti biasa tetapi disesuaikan dengan keadaan cuaca semasa.

"Kami akan sesuaikan latihan dengan keadaan semasa. Kalau latihan kawad (dijadual) pukul 2 petang, (tetapi didapati) tidak sesuai (kerana cuaca panas), latihan kawad atau fizikal akan diadakan pada waktu pagi.

"Pelaksanaan aktiviti lain (juga akan) disesuai dengan suasana," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas mengadakan lawatan ke Wisma Bernama di sini, Jumaat.

Katanya, JLKN sentiasa menitikberatkan soal kesihatan atau keselamatan pelatih semasa mengikuti program tersebut dan tidak akan sesekali memaksa pelatih melakukan aktiviti dalam keadaan cuaca panas.

Mohmed Asri berkata, JLKN juga akan akur dengan nasihat daripada Kementerian Kesihatan sekiranya aktiviti luar sepanjang program itu perlu dikurangkan seperti yang pernah dilakukan ketika negara dilanda jerebu satu ketika dahulu.

Ditanya sama ada JLKN akan menambah pegawai perubatan sebagai persediaan untuk sebarang kemungkinan ekoran cuaca panas itu, beliau berkata: "Pegawai Kesihatan memang sudah ada ditempatkan di kem-kem latihan PLKN, (tapi) kalau perlu tambahan, kami akan bincang dengan Kementerian Kesihatan."

Sebanyak 20,000 pelatih akan menyertai Program Transformasi PLKN 2.0 yang bermula 26 Mac ini di 81 kem di seluruh negara bagi mengikuti latihan selama lapan minggu.

Semalam Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam satu kenyataan berkata keadaan cuaca panas yang berpunca daripada fenomena El Nino kuat ini boleh mencetuskan gelombang haba, iaitu situasi yang membawa risiko kesihatan hipetermia atau strok haba dan dehidrasi.

Keadaan cuaca panas ini diramal kembali normal pada Jun depan.-- Bernama


PLKN, cuaca, Mohamed Asri Yusuf, El Nino

Artikel Lain