GEORGE TOWN: Lim Guan Eng menafikan pembelian rumah bernilai RM2.8 mempunyai kaitan dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis dan mahu melihat bukti dakwaan itu ditunjukkan. Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata beliau mahu bersemuka dengan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) di pejabatnya di Komtar pada jam 11 pagi Ahad untuk melihat jika terdapat sebarang bukti yang bukti menyokong dakwaannya. "Saya akan bersendirian. Saya harap dia boleh menunjukkan bukti dakwaan yang dibuat di Parlimen itu. "Mari kita bercakap tentang fakta dan angka. Saya tiada apa yang hendak disembunyikan," katanya pada sidang media di Komtar Jumaat. Guan Eng berkata Shabudin membayangkan bahawa harga hartanah yang dibeli Guan Eng adalah lebih rendah mempunyai kaitan dengan penjualan tanah kerajaan negeri pada tahun 2012. "Pemaju swasta memenangi bidaan dengan tender terbuka yang berdaya saing kerana ia memberikan harga terbaik dan tertinggi. "Penjual rumah saya tidak terlibat dalam syarikat yang memenangi bidaan. "Tambahan pula, jawatankuasa tender negeri tidak dipengerusikan oleh saya tetapi oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang," kata Guan Eng. Guan Eng berkata pembelian banglo dua tingkat di Pinhorn Road tahun lepas dibuat atas urusniaga di antara dirinya dan penjual. "Penjualnya adalah individu persendirian yang melalui sub-jualan dan terpulang kepada kedua-dua pihak untuk memutuskan harga," katanya. Di Parlimen padaKhamis, Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) mempersoalkan pembelian rumah Guan Eng di Jalan Pinhorn tahun lepas, di mana Guan Eng didakwa hanya membayar RM2.8 juta. Beliau mendakwa nilai sebenar rumah itu adalah RM6 juta. Shabudin mendakwa bahawa pemilik rumah itu ada kaitan dengan pemegang saham Kuala Lumpur International Dental Centre Sdn Bhd (KLIDC), yang telah membeli sebidang tanah dengan keluasan 0.45 hektar bernilai RM11juta yang pada asalnya diperuntukkan untuk pembinaan perumahan kos rendah pada tahun 2012. KLIDC telah mencadangkan pembinaan hotel dan sebuah pusat klinik pakar di atas tanah tersebut. Tanah di Taman Manggis telah diperuntukkan untuk 270 unit projek rumah mampu milik untuk disewakan kepada golongan miskin pada kadar RM100 sebulan.