KUANTAN: Kanak-kanak di Rumah Kanak-Kanak Sultanah Hajjah Kalsom, di sini, didakwa dizalimi dan diabaikan. Satu sumber yang menyokong dakwaannya dengan beberapa keping gambar, termasuk sekeping gambar yang menunjukkan penderitaan seorang kanak-kanak cerebral palsy berusia empat tahun yang dikurung dalam tempat tidur bayi yang diterbalikkan menjadi seperti sangkar. Katanya kakitangan di situ akan mengurung kanak-kanak itu setiap hari dan hanya akan mengubahnya kepada kedudukan betul apabila terdapat orang lain masuk ke dalam bilik tersebut. "Kanak-kanak itu cacat tetapi tidak ada sebab untuk dia dikurung," kata sumber itu. Katanya, kemudahan di rumah itu juga tidak mencukupi, dengan mendakwa dewan makannya telah ditutup sejak beberapa bulan. "Kanak-kanak perlu makan dalam bengkel jahitan yang tidak mempunyai tempat duduk yang betul. "Selain itu, sudu juga tidak cukup menyebabkan mereka perlu makan bubur menggunakan tangan." Sumber itu berkata beliau telah melaporkan perkara itu kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang masih belum memberi tindak balas. Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pahang Nor Tipah Majin menafikan dakwaan tersebut. "Mungkin kanak-kanak itu agak nakal. Tetapi apa yang digambarkan pengadu adalah tidak benar," katanya. "Mungkin gambar itu diambil ketika kanak-kanak itu secara kebetulan sedang makan di atas lantai. "Menjaga kanak-kanak bukan perkara mudah kerana mereka datang dari latar belakang yang berbeza," katanya. Nor Tipah berkata jabatan itu telah ditugaskan untuk menjaga kanak-kanak ini dan pasti tidak membenarkan mereka dianiaya. Walau bagaimanapun, jika kakitangan didapati cuai, mereka akan dikenakan tindakan disiplin, kata beliau. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin telah mengarahkan siasatan. "Saya telah melawat rumah kira-kira dua bulan lalu dan semuanya teratur. Tetapi aduan ini mesti disiasat," katanya.