suria

Mada Nasihat Pesawah Guna Teknik Tabur Terus Kering Jimat Penggunaan Air

Pesawah padi, Yudoh Kamis,75, (kanan) dan Hatijah Ahmad Saad,63, (kiri) meninjau keadaan sawah mereka yang kering kontang di Kampung Kok Klang, Chuping, Perlis, Khamis.

ALOR SETAR: Pesawah di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dinasihatkan agar menggunakan teknik penanaman padi secara Tabur Terus Kering bagi menjimatkan penggunaan air pada musim panas ini.

Timbalan Pengurus Besar Mada (Teknikal), Ir Datuk Hor Tek Lip berkata, teknik tersebut melibatkan putaran tanah dalam keadaan kering dan kerja menabur benih padi dilakukan atas permukaan sawah yang kering.

"Biasanya teknik ini kita gunakan pada musim pertama penanaman padi dan ia dapat menjimatkan penggunaan air," katanya ketika dihubungi Bernama.

Cuaca panas melampau dan kering akibat fenomena El Nino ketika ini diramal beransur baik menjelang April.

Pada 10 Mac lalu, Alor Setar dan Chuping, Perlis mencatat suhu tertinggi iaitu 38.5 darjah Celsius. 

Tek Lip berkata, walaupun Mada memberi jaminan bekalan air mencukupi untuk penanaman padi pada musim ini, pesawah perlulah sentiasa menjimatkan penggunaan air bagi mengelak jumlah air untuk kegunaan domestik terjejas.

Beliau berkata, bagi satu-satu musim penanaman padi, sebanyak 1.2 juta ekar kaki air diperlukan untuk sistem pengairan, dengan 32 peratus sumber air daripada empangan, 45 peratus air hujan, 15.7 peratus aliran sungai dan 7.3 peratus daripada pam guna semula air.

Terdapat 105 stesen pam guna semula air di kawasan Mada yang mampu membekalkan kira-kira lapan peratus jumlah air diperlukan untuk pengairan padi. 

Hor turut meminta pesawah mematuhi jadual penamanan padi yang telah diedarkan kepada pesawah bagi memastikan kelancaran proses penamanan padi. 

Mada menetapkan tiga fasa penamanan padi iaitu pada 30 Mac, 9 April dan 19 April ini. -- Bernama


Mada, padi, El Nino

Artikel Lain