PETALING JAYA: Walaupun Islam tidak menggalakkan penganutnya menyentuh anjing, Anis Mohd Taufik, 34, tidak bermasalah untuk menyelamatkan seekor anjing di satu jalan yang sibuk di Klang. Tindakannya membawa haiwan yang cedera itu untuk diselamatkan telah dirakam seorang pemandu yang lalu di situ, Jumaat lepas. "Ia adalah perbuatan spontan. Saya tak fikir apa-apa. Itu sahaja," kata Anis sebagai tindak balas terhadap pujian yang diberikan atas keprihatinannya di media sosial. Pada malam Isnin, Malaysia Independent Animal Rescue memuatnaik video klip 33 saat itu di laman Facebook. "Orang yang menyelamatkan anjing ini adalah Anis Mohd Taufik. Kemalangan itu berlaku di Teluk Panglima Garang," tulis organisasi bukan kerajaan itu. "Anjing itu memakai kolar merah tanpa tag. Ia berlaku pada Jumaat...lewat petang @11/3. Anjing itu mati beberapa minit selepas diselamatkan." Pengguna media sosial memuji Anis sebagai wira. Anis berkata dia bimbang jika haiwan itu akan dilanggar oleh kenderaan jika dibiarkan di jalan raya. "Anjing itu sangat berat. Saya mengangkatnya dari jalan raya ke pembahagi jalan," kata Anis. "Bagi saya, walaupun anjing dianggap tidak bersih dan kita tidak patut menyentuhnya, kita telah diberikan panduan mengenai cara untuk membersihkan diri selepas menyentuhnya."