KUCHING: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mungkin akan dibubarkan dalam tempoh dua minggu akan datang bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN) ke-11. Pemimpin veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Peter Minos berkata pembubaran itu dijangka berlaku minggu depan atau selewat-lewatnya minggu pertama bulan April. Beliau berkata ini kerana Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem telah mencadangkan tarikh 18 dan 30 April untuk hari penamaan calon dan pengundian, bagaimanapun keputusan tentang tarikh masih terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). "Pada masa ini, terdapat gambaran bahawa pilihan raya akan diadakan pada bulan April. Tetapi SPR akan berpandukan faktor-faktor lain seperti keselamatan, cuaca dan persiapannya sendiri, jadi tarikh itu tidak semestinya 18 dan 30 April," katanya kepada The Star, Khamis. "Ketua Menteri menganggap pembubaran itu sangat penting untuk dirinya. Dia masih perlu menyelesaikan masalah-masalah empat parti yang bersengketa mengenai kerusi dan calon," kata Minos, merujuk kepada SUPP, SPDP dan parti UPP dan Teras. SUPP dan SPDP, yang menjadi parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri, enggan melepaskan mana-mana kerusi mereka kepada UPP dan Teras. Penganalisis politik Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak berkata pilihan raya ini mungkin akan diadakan pada bulan Mei dan bukannya pada 30 April. "Pendapat saya pilihan raya kemungkinan besar akan diadakan pada 7 Mei atau selewat-lewatnya 14 Mei," katanya. Pada tahun 2011, DUN Sarawak dibubarkan pada 21 Mac, dengan penamaan calon pada 6 April dan pengundian pada 16 April.