suria

Berjalan Di Sahara Demi Kumpul Dana

Lau ketika menyertai marathon pada 2014.

KLANG: Pertemuan dengan individu tidak dikenali di gym kira-kira dua tahun yang lalu menjadi pemangkin kepada Jeff Lau Jun Tean untuk mendorong dirinya ke tahap paling maksimum demi melakukan kerja-kerja kebajikan.

Ralph Dixon, seorang pemegang amanah Yayasan Aids Malaysia (MAF) memberitahu Lau mengenai masalah golongan muda dewasa dijangkiti HIV dan keperluan mengenai dana untuk membantu mereka.

"Ia menyentuh hati saya dan menimbulkan keinginan yang mendalam untuk menyumbang ke arah membantu mereka yang dijangkiti HIV dan juga membantu MAF menjalankan program pendidikan," kata Lau yang kemudiannya menyertai Kelab Belia Riben Merah MAF.

Lau, 26, yang merupakan graduan reka bentuk komunikasi dari Royal Melbourne Institute of Technology, Australia, akan mengambil bahagian dalam Marathon Des Sables 2016 Challenge (Mds) pada bulan depan.

Beliau akan berjalan sejauh 251km di padang pasir Sahara di selatan Morocco untuk mengumpul dana untuk yayasan itu.

Cabaran yang akan bermula dari 8 hingga 18 April itu telah digelar sebagai perlumbaan kaki paling sukar di dunia oleh Discovery Channel apabila peserta perlu melengkapkan perjalanan sepenuhnya dalam tempoh enam hari.

Ini adalah kali kedua Lau mengambil bahagian di Mds. Kali pertama adalah pada tahun 2014 dengan Dixon.

"Saya berjaya mengumpul RM80,000 pada 2014 dan berharap dapat mengumpul RM160,000 tahun ini," kata Lau yang mengakui gementar kerana Dixon tidak mengambil bahagian dalam perlumbaan kali ini.

Walau bagaimanapun, memahami keperluan untuk MAF mendapatkan dana bagi melaksanakan tugasnya, Lau akan memperkuatkan dirinya untuk menghadapi cabaran itu lagi walaupun menyifatkannya sebagai "satu pengalaman yang menakutkan".

"Pengalaman saya dalam maraton pada 2014 adalah sukar dan seakan mimpi ngeri. Kami terpaksa bergerak di bawah suhu 50°C selama enam hari berturut-turut dan melengkapkan perjalanan sejauh 40km setiap hari," kata Lau yang akan berlepas ke Maghribi pada 5 April dan akan pulang ke tanah air 21 April.

Lau, yang juga anak sulung daripada empat adik-beradik kini berjalan sejauh 35km setiap hari dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ke taman Taman Tun Dr Ismail sebagai persediaan sebelum menyertai perlumbaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain