KANGAR: Suhu panas menjejaskan hasil pengeluaran mangga paling mahal di dunia. Bagi tahun ini, pokok-pokok mangga Harumanis, yang buahnya dijual pada harga RM80 hingga RM100 sekilogram di Taiwan dan Jepun berbuah secara tidak konsisten dan keadaan itu bakal menyebabkan harganya melambung lebih tinggi. "Pokok daripada spesies yang sama sepatutnya berbunga serentak. Tetapi tahun ini pokok-pokok saya sedang berbunga secara tidak sekata," kata pemilik dusun Harumanis, Zaitun Yahaya, 61. Untuk membuktikannya, Zaitun menunjukkan tanamannya itu kepada The Star ketika kami melawat negeri ini bagi melihat bagaimana penduduknya berhadapan haba yang meningkat kepada 38°C pada Jumaat lalu. Walaupun dapat dilihat buah mangga yang matang dibalut dalam kertas, namun masih terdapat bahagian tertentu yang masih berbunga secara tidak sekata. "Sudah 30 tahun saya menanam mangga Harumanis tetapi tidak pernah melihat keadaan pokok berbunga seperti ini. "Pada masa ini, saya sepatutnya mempunyai rumpunan buah yang besar di setiap pokok, tetapi kini pokok-pokok ini seolah-olah hanya akan berbunga mengikut keadaan tertentu." Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) Perlis, Mohd Bookeri Md Ludin berkata, pengeluaran buah yang tidak menentu ini memberi makna petani perlu bekerja lebih keras. "Penuaian lewat akan menyebabkan kenaikan harga. Kita perlu berlaku adil kepada petani," katanya.