IPOH: Seorang lelaki maut di puncak Gunung Berembun, Cameron Highlands, dekat sini semalam selepas mengalami sesak nafas sebelum tidak sedarkan diri, kata Ketua Polis Daerah Cameron Highlands Deputi Superitendan Zainalabidin Othman. Beliau berkata lelaki itu, Saiful Anuar Ahmad Rafie, 41, memulakan pendakian ke puncak gunung setinggi 1,840 meter itu pada pukul 10.45 pagi bersama-sama anggota keluarganya iaitu anak perempuannya berumur 12 tahun dan empat wanita berusia antara 23 hingga 34 tahun. "Kumpulan itu memulakan ekspedisi pendakian itu melalui Sungai Pauh, di Tanah Rata dan sampai di puncak gunung berkenaan pada kira-kira 2.20 petang," katanya ketika dihubungi Bernama, Ahad. Katanya, anak perempuan lelaki itu telah menghubungi ibunya yang berada di kaki gunung apabila bapanya mengalami sesak nafas dan wanita itu menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan. "Mayat lelaki itu berjaya dibawa turun pada pukul 8 malam dan dibawa ke Hospital Sultanah Hajjah Kalsom di Tanah Rata. Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung," katanya. Zainalabidin menasihatkan mereka yang mahu mendaki gunung itu supaya memaklumkan kepada balai polis berhampiran bagi memudahkan bantuan diberikan jika berlaku perkara tidak diingini. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cameron Highlands Muhammad Haziq Hazmi berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 3.16 petang sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 6 petang. "Semasa tiba di lokasi, rawatan awal telah diberikan kepada lelaki itu namun tiada tindak balas. "Operasi membawa turun mangsa dari puncak gunung mengambil masa kerana mengalami kesukaran ekoran laluan yang sempit, licin dan curam," katanya. Menurutnya sebanyak lapan anggota bomba terlibat dalam operasi menyelamat itu.-- Bernama