RAMAI yang tidak tahu bahawa pemerintahan Kuwait yang wujud pada hari ini adalah sebuah pemerintahan berdasarkan hibrid (campuran) - Raja yang memerintah seiring dengan demokrasi berparlimen – seakan-akan sama dengan apa yang dipraktikkan di Malaysia. Namun di Kuwait, berlainan sedikit berbanding Malaysia, Raja atau pun gelaran rasminya Amir, bukan merupakan pemerintah sekadar istiadat, malah Amir mempunyai kuasa memerintah yang mutlak. Amir merupakan perkataan Arab yang bermaksud ‘Putera’. Ia lazimnya digunakan bagi merujuk kepada pemerintah negara-negara berdaulat yang lebih kecil di sekitar semenanjung Arab seperti Qatar, Bahrain dan Kuwait. Pilihan raya Kuwait diadakan untuk memilih 50 orang wakil parlimen yang berkhidmat untuk tempoh satu penggal selama empat tahun namun Amir mempunyai kuota untuk memilih ahli Jemaah Menteri yang berjumlah 15 orang yang tidak semestinya menjadi anggota parlimen. Amir sekarang ialah Sheikh Ahmad Al Jaber Al Sabah baru sahaja menyambut ulangtahun yang ke-10 pemerintahannya sebagai Amir negara Kuwait setelah menaiki takhta pada penghujung bulan Januari 2006. Selain dari Amir, terdapat juga Putera Mahkota yang merupakan orang kedua paling berkuasa di Kuwait yang turut datang dari keluarga Al Sabah yang telah memerintah Kuwait sejak tahun 1752. Setelah selesai proses pilihan raya, Amir Kuwait juga berhak melantik Perdana Menteri setelah mendapat persetujuan ahli-ahli Parlimen. Perundangan Kuwait menetapkan Putera Mahkota menaiki takhta tatkala kematian Amir. PENGARUH Sungguh pun Kuwait memperolehi kemerdekaannya dari British, ramai pemerhati menganggap Kuwait moden sebagai salah sebuah ‘wilayah Amerika Syarikat’ disebabkan pertalian rapat negara yang kaya dengan hasil petroleum itu dengan Amerika Syarikat. Ini jelas terbukti apabila Kuwait diserang oleh jirannya Iraq pada tahun 1990. Penaklukan sebentar oleh Iraq berakhir lebih kurang 6 bulan kemudian apabila Amerika Syarikat ‘dijemput’ oleh Kuwait untuk membebaskannya. Pengaruh Amerika Syarikat juga dapat dilihat melalui barangan perniagaan yang dijual, terutamanya jenama kereta yang terdapat di atas jalan seperti Chevrolet, Cadillac, GMC dan seumpamanya; dan kedai-kedai makanan ‘fast food’ yang tidak asing lagi seperti Burger King, Popeye’s, KFC, McDonalds, Hardees, Pizza Hut dan seumpamanya. Malah hari ini, masih terdapat lagi Tentera Amerika yang berpangkalan di beberapa lokasi strategik di Kuwait. Perancangan dan pembangunan bandar di Kuwait boleh dikatakan mirip bandar-bandar yang ada di Amerika Syarikat dengan susunan yang teratur mengikut system ‘blok’. Secara umumnya Kuwait moden boleh dibahagi kepada 6 wilayah (muhafazah) yang dikepalai oleh Gabenor wilayah. Wilayah yang wujud hari ini terdiri daripada Asimah, Hawaly, Ahmadi, Farwaniya, Jahra dan Mubarak Al Kabeer. Setiap wilayah pula mempunyai beberapa daerah dan setiap daerah pula akan dibahagikan kepada beberapa blok. Sebagai contoh di dalam wilayah Hawaly terdapat beberapa daerah yang dipanggil Jaberiya, Salemiya, Surrah, Mishrif dan Raudhah. Setiap daerah akan mempunyai beberapa blok kediaman dan perniagaan yang biasanya akan dikenali dengan angka. Sesebuah daerah pada kebiasaannya mempunyai sehingga 10-12 blok. Yang menariknya, boleh dikatakan setiap blok mempunyai masjid yang dibina khas untuk menampung keperluan penduduk sesebuah blok dan terdapat juga beberapa blok yang mempunyai lebih dari sebuah masjid di dalam setiap blok. Hal ini lebih ketara di wilayah Asimah (ibu kota) di mana terdapat masjid-masjid lama yang didirikan di kawasan kediaman awal penduduk Kuwait lebih dari 60 tahun yang lampau yang masih digunakan sehingga hari ini. Apabila masuk waktu solat, maka azan ‘berlumba-lumba’ berkemundang di udara melalui corong pembesar suara di menara masjid bagaikan ada pertandingan! PENDUDUK Kuwait hari ini dianggarkan mempunyai jumlah penduduk seramai empat juta orang yang terdiri daripada 1.5 juta penduduk tempatan (‘watani’ - anak watan) dan yang selebihnya iaitu 2.5 juta terdiri dari golongan pendatang (expatriate) yang bekerja di dalam pelbagai sektor ekonomi Kuwait. Secara kasarnya, seseorang yang baru datang ke Kuwait akan mendapati sebahagian besar dari golongan pendatang yang berada di Kuwait ini terdiri daripada pekerja-pekerja yang berasal dari Mesir dan India. Kebanyakan guru sekolah rendah dan menengah terdiri daripada rakyat Mesir namun sejak sepuluh tahun kebelakangan ini, terdapat polisi untuk mengisi jawatan para pendidik daripada kalangan anak tempatan. Hubungan Kuwait dengan India sejak puluhan tahun juga memperlihatkan kacukan budaya Arab dan India terutama dari segi makanan yang tidak jauh bezanya dengan makanan India. Hatta, pernah satu ketika di awal kurun lepas, matawang Kuwait adalah berdasarkan Rupee India sebelum matawang Dinar digunapakai. MINYAK Penemuan minyak di Kuwait sekitar pertengahan tahun 1930-an telah membantu menjana pembangunan ekonomi Kuwait dengan pesat. Sebelum penemuan petroleum, Kuwait merupakan sebuah negara yang berdagang dengan kebanyakan barang kegunaan penduduk di impot dari luar negara. Terdapat juga industri perikanan dan mutiara laut berskala sederhana yang melahirkan ramai penyelam dasar laut di pesisiran laut Kuwait di antara tahun 1950-60-an namun industri tersebut kini kian pupus dimakan dek masa. Hari ini, sebahagian besar dari belanjawan negara ditampung dari hasil jualan petroleum. Susulan penemuan minyak, Kuwait melalui suatu fasa yang dikenali sebagai zaman keemasan (Golden Era) selama lebih 30 tahun. Zaman ini dikatakan bermula sekitar tahun 1946 sehingga awal tahun 1980-an. Fasa tersebut menyaksikan pembangunan pesat melalui program kerja raya besar-besaran yang didokong oleh hasil kekayaan minyak bagi membolehkan rakyat Kuwait menikmati taraf hidup yang moden. Pada tahun 1952, Kuwait telah diiktiraf sebagai sebuah negara pengekspot minyak yang terbesar di kawasan Teluk Parsi. Pembangunan yang pesat ini membantu menarik kehadiran ramai tenaga kerja asing terutamanya dari Palestin – yang baru saja mengalami krisis susulan penubuhan negara Israel. Di samping itu Kuwait juga menjadi tumpuan rakyat Mesir dan India. Menjelang tahun 1960 dan seterusnya sehingga awal tahun 1970-an, Kuwait telah menjadi negara yang paling maju di Teluk Parsi. KEPELBAGAIAN SUMBER Selain meraih kekayaan dari hasil minyak, Kuwait juga menjadi perintis di antara negara negara Teluk bagi mempelbagaikan sumber pendapatan agar tidak terus menerus bergantung hidup kepada hasil minyak. Sebagai langkah untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negara, Kuwait telah menubuhkan Lembaga Pelaburan Kuwait (Kuwait Investment Authority – KIA) pada tahun 1953. KIA adalah sebuah institusi pelaburan milik negara (Sovereign Wealth Fund) yang bertanggung jawab untuk melabur lebihan hasil kekayaan minyak negara dalam sektor-sektor yang bakal menjana hasil pulangan jangka panjang untuk menampung keperluan generasi akan datang. KIA merupakan institusi pelaburan negara yang pertama dan antara yang paling tua di dunia. Hari ini, langkah untuk menubuhkan institusi sedemikian dicontohi di kebanyakan negara-negara termasuk Malaysia sendiri melalui Khazanah Malaysia. Lain-lain negara yang mencontohi langkah yang diambil oleh Kuwait melabur untuk jangka masa panjang termasuklah Norway, Singapura, Cina, Abu Dhabi, Arab Saudi, Qatar dan Hong Kong. Melalui institusi pelaburan negara ini, Kuwait sebuah negara yang kecil tetapi kaya dengan hasil ekspot minyak, mampu menguasai beberapa aset strategik termasuk beberapa hartanah mewah di New York dan London. Hari ini juga, jumlah aset yang dimiliki Lembaga Pelaburan Kuwait bernilai AS$592 bilion termasuk pegangan dalam syarikat-syarikat ternama seperti HSBC dalam sektor kewangan, BP dalam sektor minyak dan Vodafone dalam sektor telekomunikasi.