KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Menangani El-Nino dan Cuaca Kering pada hari ini bersetuju dengan definisi gelombang haba (heatwave) yang digunakan oleh Jabatan Meteorologi. Menurut definisi itu Tahap 0: Suhu di bawah 35° Celsius (Pemantauan); dan Tahap 1: Suhu maksimum antara 35°C hingga 37°C selama tiga hari berturut-turut (Keadaan berjaga-jaga). Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dalam kenyataan pada Isnin berkata, Tahap 2: Suhu maksimum melebihi 37°C untuk tiga hari berturut-turut (pengisytiharan ‘heatwave’ oleh Mosti bagi pihak lain mengambil tindakan selanjutnya seperti penutupan sekolah dan sebagainya); Tahap 3: Suhu melebihi 40°C untuk 3 hari berturut-turut (Pemakluman kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Perdana Menteri akan mengisytiharkan kecemasan). Katanya, pemantauan cuaca terkini oleh pihak MetMalaysia sehingga pukul 4.00 petang Isnin di sembilan lokasi adalah seperti berikut: Batu Embun,Pahang (37.0°C); Chuping, Perlis (37.0°C); Keningau, Sabah (37.0°C); Prai, Pulau Pinang (37.0°C) dan Temerloh, Pahang (36.0°C). Manakala Lubok Merbau, Perak (36.0°C); Ipoh, Perak (36.0°C); Kuala Krai, Kelantan (36.0°C); dan Alor Star, Kedah (36.0°C). Katanya, keadaan yang sama dijangka juga berlaku pada Selasa (22 Mac). Kejadian jerebu tempatan juga akan turut terjadi kesan daripada cuaca panasdan aktiviti manusia seperti industri, kenderaan bermotor dan pembakaran hasil buangan sisa pertanian. "Oleh itu, orang ramai dinasihatkan untuk tidak melakukan pembakaran terbuka terutamanya yang melibatkan aktiviti perkhemahan. "Pada masa yang sama, orang ramai turut dinasihatkan supaya menghadkan aktiviti luar semasa keadaan cuaca panas terutamanya di sebelah petang," katanya.-Bernama