PETALING JAYA: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu disekat oleh Jabatan Imigresen Sarawak daripada memasuki negeri itu sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada pukul 10.40 pagi Selasa. Menurut pegawai khasnya, Azhar Md Dali, halangan pihak imigresen itu dibuat atas arahan Pejabat Ketua Menteri. Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu kemudiannya dihantar pulang ke semenanjung dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) pada pukul 11.25 pagi. Mohamad dijadual menghadiri beberapa program dalaman parti di beberapa bahagian di Sarawak selama tiga hari bermula Selasa. "Ini kali pertama beliau disekat memasuki Sarawak. Kunjungan beliau ke negeri ini sebelum ini tidak menghadapi sebarang masalah," kata Azhar ketika dihubungi mStar Online di sini. Tambah Azhar, kali terakhir Mohamad memasuki Sarawak adalah pada 7 hingga 9 Mac lalu.