SEREMBAN: Empat sekeluarga nyaris maut apabila kereta yang mereka naiki diseret sebuah lori sejauh 10 meter dalam kemalangan di KM262.7 Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Plaza Tol Seremban, pagi Selasa. Jurucakap polis berkata kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Honda Civic yang dipandu seorang wanita bersama ibu serta dua anaknya melanggar belakang sebuah lori 10 tan yang sarat membawa muatan batu bata. "Ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari Nilai menuju ke Taman Tuanku Jaafar," katanya. Sementara itu, saksi kejadian R. Kesevan, 30, berkata dia memandu di belakang lori terbabit selepas keluar dari Plaza Tol Seremban menuju arah selatan. "Ketika lori itu hendak memasuki lorong ketiga lebuh raya, kereta yang dipandu mangsa yang datang dari arah Nilai merempuh belakang lori itu. "Akibat perlanggaran itu kereta mangsa yang melekat di bahagian belakang lori telah terseret sejauh 10 meter sebelum pemandu lori itu menghentikan lorinya," katanya. Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md Munawir Md Yusof berkata bomba menerima panggilan pada 7.12 pagi dan tiba kira-kira 10 minit kemudian. "Apabila tiba di tempat kejadian terdapat seorang wanita berusia 40-an tersepit di tempat duduk pemandu. Anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit. "Tiga lagi penumpang seorang warga emas (ibu pemandu) berusia 60-an dan dua kanak-kanak, seorang lelaki berusia lima tahun dan seorang perempuan berusia dua tahun (anak pemandu) dikeluarkan orang awam," katanya. Kesemua mangsa yang mengalami kecederaan di muka dan badan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar untuk menerima rawatan lanjut.