KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Selasa melawat pusat Operasi Bersepadu (IO) Petronas, pusat komunikasi dan kawalan canggih yang mengoptimumkan kos operasi dan kecekapan dengan menguruskan operasi global dari jarak jauh. Hadir di pusat IO itu ialah Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Huluan Petronas, Datuk Wee Yiaw Hin. "Sebagai syarikat minyak dan gas bersepadu dengan kehadiran di lebih 20 negara, kami memastikan prestasi optimum operasi kami untuk jaminan dan keselamatan kemudahan. "Ini dicapai dengan meningkatkan keupayaan kami dengan penyelesaian teknikal yang inovatif seperti pusat IO, yang membolehkan keputusan dan campur tangan masa nyata," kata Wee dalam satu kenyataan Selasa. Terletak di Menara 2 di Menara Berkembar Petronas, Pusat IO memaparkan operasi global Petronas dengan maklumat masa nyata, bagi membolehkan kerjasama global di antara Kuala Lumpur dan pejabat di negara lain untuk meningkatkan pengeluaran dan memantau kemudahan. Ketika lawatannya ke Pusat IO itu, Najib mencuba sistem berkenaan dengan berkomunikasi dengan wakil Petronas di Myanmar, Iraq dan Turkmenistan. "Pusat itu juga menawarkan pandangan terperinci kemudahan di Semenanjung Malaysia hingga Malaysia Timur bagi menguruskan aktiviti harian yang penting bagi memastikan bekalan berterusan tenaga untuk penggunaan domestik," kata Wee. Lawatan perdana menteri itu sempena Persidangan Teknologi Luar PesisirAsia 2016 mulai 22 hingga 25 Mac di sini.