ICC menyampaikan perakuan akreditasi itu kepada Suhakam pada mesyuarat tahunannya ke-29 di Geneva, Switzerland, pada Selasa.
Naib Pengerusi Suhakam dan wakil ke mesyuarat itu, Datuk Dr Khaw Lake Tee telah menerima perakuan tersebut.
Suhakam telah menjalani proses akreditasi semula pada bulan November 2015 dan dicadangkan status 'A' oleh Jawatankuasa Kecil Akreditasi ICC dan diterima oleh Biro ICC.
Dr Khaw berkata akreditasi semula itu merupakan satu pengiktirafan dan pengakuan terhadap sumbangannya kepada perlindungan dan promosi hak asasi manusia.
"Dengan akreditasi semula ini, suruhanjaya akan meneruskan mandat dan fungsinya untuk mempromosi, melindungi dan memenuhi hak asasi manusia di negara ini dengan semangat dan keyakinan yang lebih besar, dengan objektif utamanya menjadikan hak asasi manusia dapat dinikmati seluruh rakyat di negara ini dengan kesaksamaan dan bukannya diskriminasi.
"Suruhanjaya juga akan terus mengambil bahagian dalam forum antarabangsa mengenai isu-isu hak asasi manusia, selaras dengan status 'A' nya," kata Dr Khaw dalam satu kenyataan pada Khamis.