suria

Lelaki Menyamar Ketua Polis Perak Ditahan

TAIPING: Polis berjaya menahan dua lelaki, seorang daripadanya menyamar sebagai ketua polis perak ketika melakukan jenayah dua tahun lalu, kata Ketua Polis Daerah Taiping, ACP Harrith Kam Abdullah.

Beliau berkata, kedua-dua suspek berumur 45 tahun itu ditahan di sini pada 17 Mac lalu kerana menipu dengan kononnya menawarkan pelbagai projek polis.

"Projek yang ditawarkan termasuk membekalkan makanan untuk tahanan di Lokap Juru serta mengecat Balai Polis Tapah. Semua projek itu tidak wujud," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat malam.

Katanya, seorang jurujual air minuman yang terpedaya dengan tawaran projek itu telah memasukkan bayaran wang tunai RM17,080 dalam akaun Maybank atas nama suspek kedua mulai 30 November 2014 sehingga 28 Februari 2015. 

"Bagaimanapun, mangsa mengesyaki dia telah ditipu setelah tidak memperoleh sebarang projek sebelum membuat laporan polis," katanya.

Harrith Kam berkata, suspek pertama yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini mengaku tidak bersalah dan dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000, manakala suspek kedua masih disoal siasat polis. - Bernama

Artikel Lain