SHAH ALAM: Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau seorang 'diktator' semasa era pemerintahannya 22 tahun lalu dan sebahagiannya berasa bersalah kerana menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai perdana menteri. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas kongres "Selamatkan Malaysia" di sini pada Ahad. Bekas perdana menteri itu ditanya bagaimana pelantikan seorang perdana menteri baharu akan mengubah situasi politik negara. Dr Mahathir menjelaskan bahawa tidak kira siapa yang bakal menggantikan Najib, mereka akan tahu apa yang berlaku jika mereka menyalahgunakan kuasa. "Mereka boleh melakukan apa yang saya lakukan, saya juga seorang diktator sebelum ini, tetapi ia tidak mengapa. Rakyat tidak mengadakan demonstrasi seperti ini terhadap saya sebelum ini," katanya dalam nada berseloroh. Dr Mahathir berkata beliau tidak bersalah sepenuhnya di atas kerosakan yang dilakukan kepimpinan pada hari ini. Katanya, kesilapan bermula apabila Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak mencadangkan beliau kepada Perdana Menteri Ketiga, Tun Hussein Onn sebagai pengganti. "Kesilapan bermula dengan Tun Razak mencadangkan saya kepada Tun Hussein dan kemudian Tun Hussein memilih saya sebagai timbalannya. Dan saya dilantik sebagai perdana menteri. "Sebagai seorang perdana menteri, saya harus memilih timbalan saya. Ia adalah (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) diikuti Tun Abdullah Badawi. "Saya bertanggungjawab kerana meminta Tun Abdullah melantik Najib, jadi bukan sahaja saya. Banyak individu terlibat dalam memilih beliau. Jadi ia kesilapan saya dan juga orang lain," katanya.