JOHOR BARU: Perintah tahanan reman seorang lelaki, yang ditahan kerana menikam dan mengelar isterinya sehingga mati di sebuah kampung di Kangkar Tebrau pada Ahad lepas, dilanjutkan sehingga 3 April ini. Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan ACP Sulaiman Salleh berkata reman sebelum ini berakhir hari ini dan polis perlu melanjutkannya supaya suspek boleh membantu siasatan. "Polis telah memohon kepada mahkamah agar perintah reman suspek dilanjutkan lagi selama seminggu bermula pada Isnin," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad. Dalam kejadian kira-kira 2.26 petang itu, suspek yang berusia 35 tahun dan bekerja sebagai tukang jahit, dipercayai mengelar leher isterinya menggunakan pisau sebelum menikam belakang mangsa beberapa kali menggunakan gunting. Menurut polis sebelum kejadian, beberapa jiran mendengar pergaduhan dari rumah mangsa namun, tidak diendahkan mereka. Mayat mangsa yang tertiarap di atas lantai kemudian ditemui oleh anak sulungnya yang pulang dari sekolah. Siasatan awal polis mendapati kejadian berlaku selepas suspek terdengar bisikan halus supaya membunuh isterinya. - BERNAMA