KLANG: Ibu kepada murid yang mendakwa dipaksa memotong lidahnya sendiri dalam kejadian buli di sebuah sekolah di sini, Khamis lepas, mahu anaknya itu ditukarkan ke sekolah lain dengan segera. Siti Nurhuda Ibrahim, 29, berkata dia serik dan mahu kejadian hitam yang menimpa anaknya Muhammaf Alif Shukran Alias, 8, tidak berulang. "Saya mahu menukarkan dia (Muhammad Alif Shukran) ke sekolah lain kerana tidak mahu dia dibuli lagi," katanya ketika ditemui pemberita di sini Ahad. Siti Nurhuda berkata polis juga telah mengambil semula keterangannya pada Ahad, berhubung siasatan kes berkenaan. Beliau berharap polis dapat menyelesaikan segera kes tersebut supaya ia tidak berlaku ke atas murid lain. Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor akan memberi khidmat kaunseling kepada Muhammad Alif Shukran. Pengarahnya Zainureen Mohd Noor berkata ia bagi memulihkan semangat murid tahun dua itu untuk terus bersekolah dan belajar. "Di samping itu, pihak jabatan pendidikan juga sedang giat melakukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti murid yang terlibat dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka," katanya ketika dihubungi pada Ahad. Pada Khamis lepas, Muhammad Alif Shukran mendakwa dipaksa memotong lidahnya sendiri oleh sekumpulan lima murid tahun tiga dari sekolah yang sama. Berikutan kejadian itu, lidah mangsa putus sedikit di bahagian hujung dan menerima satu jahitan. - BERNAMA