suria

Dadah RM2.14 Juta Dirampas, Lima Warga Asing Dan Seorang Tempatan Ditangkap

KUALA LUMPUR: Polis melumpuhkan dua sindiket dadah dengan tertangkapnya lima suspek iaitu tiga lelaki warga Nigeria, dua wanita Uganda dan seorang wanita tempatan dalam dua serbuan berasingan di ibu kota dan Selangor.

Sebanyak 14.13kg syabu bernilai RM2.14 juta dirampas dalam serbuan itu di Taman Usahawan Kepong dan di Puchong Jumaat lepas dan Isnin.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Mohd Dzuraidi Ibrahim berkata kesemua suspek berusia 24 hingga 36 tahun itu dipercayai telah beroperasi di negara ini sejak enam bulan lepas.

"Sindiket ini dipercayai didalangi warga Afrika yang membawa masuk dadah dari negara mereka melalui laut menerusi China.

"Bagi mengaburi pihak berkuasa, dadah berkenaan disorok dalam adaptor komputer dan penapis air jenis keluli," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Dalam serbuan pertama di Kepong, pada 11.45 pagi, JSJN dan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman menahan dua lelaki warga Nigeria dan seorang wanita Uganda, kata Mohd Dzuraidi.

"Ketiga-tiga suspek sibuk membungkus syabu dalam penapis air apabila serbuan dilakukan. Polis merampas 13.2 kilogram syabu bernilai RM2 juta," katanya.

Dalam serbuan kedua semalam, polis menahan seorang wanita tempatan yang dipercayai dijadikan 'keldai' dadah, kata Mohd Dzuraidi.

Katanya syabu seberat 928 gram bernilai RM140,000 disorok dalam adaptor komputer ditemui dalam kereta wanita itu di Puchong.

Polis kemudian menangkap seorang lelaki Nigeria dan seorang wanita Uganda, di Seri Kembangan, Selangor, tambahnya.

Mohd Dzuraidi tidak menolak kemungkinan suspek kes pertama dan kedua mempunyai hubung kait.

Beliau juga berkata 2,155 warga asing dan 47,300 orang tempatan ditangkap berkaitan dadah dari 1 Jan tahun ini hingga Khamis lepas.

Dalam tempoh sama dadah bernilai RM58.37 juta dirampas. - BERNAMA

dadah, PDRM

Artikel Lain