suria

Ku Li: Saya Tidak Pernah Sokong Deklarasi Mahathir Jatuhkan Najib

Tengku Razaleigh ketika mengadakan sidang media di kediamannya pada Selasa. -fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah menegaskan beliau tidak pernah menyokong Deklarasi Mahathir untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata tidak timbul soal beliau berubah pendirian dan kini menyokong Najib sebagaimana didakwa bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad kerana menandatangani Deklarasi Kelantan Khamis lalu untuk menyokong Najib sebagai perdana menteri dan presiden Umno.

"Sebenarnya dokumen itu (Deklarasi Kelantan) adalah dokumen biasa yang dibuat oleh mana-mana majlis parti politik ... dokumen itu tidak ada kesan kepada perundangan. Sebagai ahli Umno saya boleh saja tandatangan.

"Jangan salah faham, saya tandatangan sebagai ahli Umno, saya tidak berada di mana-mana kumpulan selain daripada Umno," katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini Selasa.

Tengku Razaleigh berkata beliau tidak menyokong cara Tun Mahathir untuk menurunkan Najib kerana ia bertentangan dengan perlembagaan dan sistem demokrasi negara.

Dalam pada itu, beliau berkata Deklarasi Mahathir tidak akan membawa apa-apa kesan kepada pemimpin serta kerajaan yang sah dipilih rakyat dan mengikut perlembagaan negara.

"Saya cakap dengan Tun Mahathir, kalau hendak buat gerakan ini akhirnya ke mana kita pergi, beliau kata akan pungut banyak sokongan menerusi tandatangan dan sebagainya dan gunakan ia untuk tekan orang atasan untuk turunkan Najib".

Sementara itu, Tengku Razaleigh menafikan ada mengedar akuan bersumpah yang menyokongnya untuk menjadi perdana menteri seperti yang tersebar dalam media sosial.

"Saya lihatnya di Facebook melalui telefon saya ... tidak berapa jelas seperti surat kepada Agong meletak nama saya sebagai contoh," katanya.

Tengku Razaleigh berkata beliau sudah terlalu lama dalam Umno untuk menjadi seorang perdana menteri dan adalah mustahil beliau yang menulis surat tersebut dan meletak nama sendiri. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain