suria

Operasi Basmi Tempat Pembiakan Nyamuk Bermula 11 April

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan melaksanakan operasi pembasmian pembiakan nyamuk Aedes di 192 'titik panas' di seluruh negara bermula 11 April ini dalam usaha mengekalkan momentum penurunan kes demam denggi.

Menterinya Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata operasi selama dua bulan itu akan menumpukan penguatkuasaan terhadap tapak pembinaan berikutan banyak kawasan itu dikesan menjadi sarang nyamuk Aedes.

Bercakap dalam sidang media di kementeriannya di sini Jumaat, beliau berkata jumlah kes denggi telah menurun setiap minggu, iaitu daripada lebih 3,500 kes minggu ke-11 kepada 2,135 kes pada minggu ke-13.

"Walaupun kes demam denggi menunjukkan penurunan, kementerian akan terus komited bagi memastikan segala perancangan dan pelaksanaan yang dijalankan akan dibuat habis-habisan," katanya.

Berdasarkan trend kes demam denggi di seluruh negara untuk dua tahun ini, Dr Subramaniam berkata adalah dijangkakan peningkatan kes akan bermula awal Mei dan memuncak pada awal Julai ini.

"Sekiranya kes demam denggi meningkat pada Jun ini, maka saya jangkakan ia mungkin menjadi lebih teruk daripada tahun sebelumnya.

"Oleh itu, kementerian mengambil langkah awal bagi memastikan segala pembersihan dijalankan dibuat secara habis-habisan bagi menangani masalah ini," katanya.

Bagaimanapun, Dr Subramaniam berkata ada kalanya, peningkatan kes ini tidak dapat dielakkan disebabkan oleh beberapa faktor seperti cuaca, corak hujan dan tingkah laku nyamuk.

Dalam perkembangan lain, Dr Subramaniam berkata kementeriannya akan mencadangkan kepada Kementerian Pendidikan untuk memasukkan larangan pengusaha kantin sekolah menyediakan makanan dari rumah sebagai prosedur operasi standard (SOP).

"Semua sekolah mempunyai fasiliti menyediakan makanan. SOP ini tidak perlu dibentangkan di kabinet. Kementerian Pendidikan boleh mengeluarkan arahan itu," katanya ketika diminta mengulas mengenai status kejadian tujuh pelajar termakan bihun goreng yang tercemar dengan serpihan kaca.

Katanya, kontrak pengusaha kantin itu telah pun ditamatkan dan digantikan dengan orang baru.

Sementara itu, Dr Subramaniam memberitahu kementerian akan memberikan input dan data mengenai penjawat awam khususnya di Putrajaya yang mempunyai berat badan berlebihan dan obesiti pada 19 April nanti.

"Ia akan merangkumi spektrum keseluruhan, akibat dan apa yang harus dilakukan oleh kerajaan untuk menangani masalah ini," katanya ketika diminta mengulas mengenai kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia dan Perbadanan Putrajaya melaksanakan program penurunan berat badan dalam kalangan penjawat awam di Putrajaya. - BERNAMA

nyamuk, denggi, Dr Subramaniam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain