KUALA TERENGGANU: "Takut, panik semua ada...alhamdulillah pak cik selamat... tapi pak cik tetap akan turun ke laut, ini adalah punca rezeki pak cik," kata Abd Wahab Ismail ketika menceritakan detik cemas semasa botnya karam. Nelayan warga emas berusia 67 tahun berasal dari Kuala Ibai itu terpaksa berpaut pada tong minyak selepas bot dikemudinya karam di 1.2 batu nautika berhampiran muara Sungai Kuala Terengganu, di sini, Sabtu. Namun, nasibnya baik apabila diselamatkan dua nelayan yang kebetulan melalui lokasi itu dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu. Ketika ditemui Bernama di jeti Pulau Kambing di sini, nelayan itu berkata dia keluar menangkap ikan kira-kira 5.30 pagi, bagaimanapun sebaik tiba di lokasi kejadian, botnya dipukul gelombang lalu bocor dan mula tenggelam. Bapa kepada 10 cahaya mata itu berkata kejadian berlaku terlalu pantas dan dia berjaya berpaut pada tong minyak bagi menyelamatkan diri. "Nasib pak cik agak baik, ada dua nelayan melihat kejadian dan datang menyelamatkan pak cik," katanya. Menurutnya ini merupakan pengalaman keduanya sejak menjadi nelayan lebih 30 tahun lalu, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus mencari rezeki di laut. Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kota, Zulbahry Sulong berkata sejurus menerima maklumat mengenai kejadian itu, 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan melakukan rondaan di pesisir muara sungai Terengganu hingga ke Seberang Takir bagi mengesan mangsa. "Namun kita menerima laporan mangsa telah berjaya diselamatkan nelayan lain kira-kira pukul 7.30 pagi dan telah dibawa ke jeti Pulau Kambing," katanya.