suria

'Himpunan Undur Najib Dan Mansuh GST' Tanpa Kebenaran Pihak Berkuasa

Peserta-peserta Himpunan Undur Najib dan Bantah GST berarak ke Dataran Merdeka dari Jalan Tunku Abdul Rahman pada Sabtu. Foto: RICKY LAI/ Star Media Group

PETALING JAYA: Himpunan Undur Najib dan Mansuh GST anjuran parti Amanah Negara (Amanah) yang berlangsung di Dataran Merdeka pada Sabtu tanpa mendapat kebenaran pihak berkuasa.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh memberitahu dalam satu kenyataan pada Sabtu, pihaknya telah mengadakan pertemuan sebanyak tiga kali dengan penganjur dan telah mencadangkan sepaya perhimpunan diadakan di Padang Merbok.

"Penganjur juga telah dinasihatkan supaya mematuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA) dalam apa jua perhimpunan yang hendak dianjurkan, termasuk kebenaran daripada pemilik lokasi penganjuran".

Namun pada petang Sabtu, pihak penganjur telah mengadakan perhimpunan dan perarakan dari Sogo di Jalan Tunku Abdul Rahman hingga ke Dataran Merdeka bersama beberapa orang pemimpin penganjur yang turut membuat ucapan.

"Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Md Ali, Pengerusi Amanah Mohamad Sabu, Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Salahuddin Ayub, Tian Chua serta beberapa pemimpin parti pembangkang telah menyertai dan memberi ucapan pada perhimpunan yang dianggarkan seramai 1800 orang," jelas kenyataan tersebut.

Bagaimanapun, perhimpunan yang berakhir pada pukul 5.30 petang tanpa sebarang insiden yang tidak diingini.

"Polis tidak akan teragak-agak mengambil tindakan kepada individu yang didapati menyalahi undang-undang. 

"Polis Kuala Lumpur sentiasa memastikan Bandaraya Kuala Lumpur berada dalam keadaan selamat dan tenteram".

Perhimpunan ini diadakan bagi mendesak kerajaan menghapuskan GST serta menuntut tiga perkara iaitu reformasi menyeluruh ke atas sistem Institusi Negara, kebebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan perdana menteri harus meletak jawatan segera.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain