suria

Waris Mahu Mangsa Culik Selamat Kembali

Bapa mangsa culik Wong Teck Kang dan Wong Teck Chii (dua kanan) serta ahli keluarga membuat laporan di Balai Polis Sentral, Sibu.

SIBU: Tiada apa yang diharapkan waris empat mangsa culik di perairan Pulau Ligitan di Semporna, Sabah, selain kesemua mereka dapat kembali ke pangkuan keluarga dengan selamat. 

Wong Chii Ming, 55, yang dua anaknya, Teck Kang, 31, dan Teck Chii, 29, antara mangsa culik itu berharap kerajaan dapat berusaha menyelamatkan mereka.

"KL (kerajaan) sudah tahu. Harap-harap anak dapat pulang dengan selamat,"katanya ketika ditemui di perkarangan Balai Polis Sentral Sibu pada Sabtu.

Menurutnya, isteri Teck Kang baharu sahaja melahirkan anak lelaki kedua mereka 10 hari lepas dan pasti beliau ingin berjumpa dengan bayinya itu selain anak sulungnya yang berusia tiga tahun.

Wong yang hadir ke balai polis itu untuk membuat laporan, berkata beliau sekeluarga tidak dapat tidur semalaman selepas menerima panggilan yang memaklumkan mengenai kejadian berkenaan pada pukul 8 malam semalam.

Menurutnya yang merupakan operator bot nelayan, Teck Kang merupakan anak sulung dan Teck Chii pula anak kedua daripada lima beradik yang terdiri daripada empat lelaki dan seorang perempuan.

Seorang lagi waris, Wong Hung Siong, 28, berkata abangnya, Hung Sing, 34 ada menelefonnya kira-kira 7 pagi Jumaat, memintanya untuk menambah nilai kredit prabayar telefonnya.

“Masa telefon dia beritahu akan tiba di Sabah pada sebelah malam," katanya sambil menambah abangnya itu tidak menyatakan sesuatu yang pelik atau di mana dia berada ketika itu. 

Beliau berkata abangnya sudah lebih enam tahun bekerja dengan syarikat perkapalan berkenaan dan kali terakhir berjumpa ialah pada perayaan Tahun Baru Cina awal tahun ini. 

Hung Siong turut berharap kerajaan dapat mencari ikhtiar untuk membawa pulang abangnya dengan selamat.

Sementara itu, Tommy Lau Lung Hieng, 27, memberitahu beliau mungkin menjadi antara mangsa yang diculik sekiranya tidak bertukar tempat dengan adiknya Johnny Lau Jung Hieng, 21.

Bekerja dengan syarikat kapal yang sama, Tommy membuat pertukaran dengan Johnny semasa melakukan penghantaran kayu balak ke Manila tempoh hari.

"Saya bertukar dengan dia di mana saya balik dan dia menggantikan saya untuk ke Filipina," katanya.

Kira-kira pukul 6.15 petang Jumaat, keempat-empat mangsa berasal dari Sibu yang bertugas di kapal 'Masfive 6' diculik lapan lelaki bersenjata ketika dalam perjalanan pulang dari Filipina ke Malaysia.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya belum menerima maklumat tuntutan tebusan daripada kumpulan bersenjata itu dan masih mengesan sama ada penculikan berkenaan melibatkan jenayah rentas sempadan atau ada kaitandengan kumpulan Abu Sayyaf. -Bernama

Keluarga mangsa culik, sibu

Artikel Lain