suria

Pemilik 'Anand 12' Sudah Dihubungi - Konsulat Indonesia

Tongkang 'Anand 12' yang ditemui dalam keadaan terapung-apung pada kedudukan timur laut Platform Tun Sharifah Rodziah (TSR) ke tenggara Tanjung Tungku, dekat Lahad Datu, Isnin. Foto:Bernama

TAWAU: Pejabat Konsulat Indonesia di Tawau sudah menghubungi syarikat pemilik tongkang 'Anand 12' yang dilaporkan dirampas pada 26 Mac lepas, berhubung penemuan tongkang itu di perairan Tungku, Lahad Datu, Ahad lepas.

Konsul Indonesia di Tawau  Abdul Fatah Zainal berkata, sebaik dimaklumkan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mengenai penemuan tongkang itu, pihaknya terus menghantar pegawai ke Lahad Datu untuk mendapatkan maklumat lanjut.

Tongkang itu dirampas kumpulan Abu Sayyaf di perairan Filipina pada 26 Mac lepas.

"Sebaik mendapat maklumat terperinci, kami berusaha mencari pemilik tongkang itu. Alhamdulillah, kami dapat berbual dengan seorang kakitangan syarikat berkenaan," katanya kepada pemberita pada Selasa tetapi enggan mendedahkan nama syarikat dan lokasinya atas faktor keselamatan. 

Abdul Fatah berkata pihaknya telah memaklumkan dokumen dan prosedur yang perlu dipatuhi pemilik untuk mendapatkan semula tongkang dan muatannya.

“Kami dimaklumkan, pihak berkuasa memerlukan sekurang-kurangnya dua minggu bagi menyelesaikan penyiasatan menyeluruh tongkang itu,” katanya.

Dalam kejadian 26 Mac itu, bot tunda dan tongkang yang membawa arang batu dari Kepulauan Borneo ke Filipina dipercayai dirampas oleh kumpulan Abu Sayyaf manakala 10 kru bot tunda berkenaan, semuanya warga Indonesia, telah diculik.

“Setakat ini, kami belum menerima sebarang tuntutan wang tebusan daripada mana-mana pihak termasuk daripada pihak yang bertanggungjawab membawa kru bot tunda Brahma 12 yang dirampas ketika dalam perjalanan dari Kepulauan Borneo keFilipina," katanya.

Abdul Fatah berkata pihaknya sedang berusaha sedaya upaya untuk membebaskan kesemua 10 kru yang ditahan pihak tidak bertanggungjawab di Filipina.

Mengenai tiga rakyat Indonesia yang dibebaskan bersama-sama bot tunda mereka dalam insiden penculikan empat rakyat Malaysia di perairan Pulau Ligitan,Semporna, Jumaat lepas, Abdul Fatah berkata pihaknya dan syarikat kapal tunda itu akan memastikan kebajikan semua anak kapal berkenaan termasuk warga Myanmar.  

"Ketika kami melawat kapal itu pada Ahad lepas, keadaan mereka amat menyedihkan kerana tiada apa-apa lagi bekalan makanan untuk dimakan,” katanya.

Abdul Fatah berkata sebelum kejadian, bot tunda Massive 6 itu membawa arang batu ke Manila dan ketika dalam perjalanan balik ke Samarinda untuk mengambil arang batu lagi, mereka kehabisan bekalan makanan dan ingin singgah di Tawau untuk membeli keperluan itu.

Kerajaan Indonesia, katanya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Malaysia yang memberi kerjasama sepenuhnya berhubung kedua-dua kes berkenaan. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain