suria

Anggota Polis Ditahan Susulan Video Pukul Isteri Dalam Pantang Jadi Viral

SEGAMAT: Anggota polis yang bertugas di pos Felda Redong di Tenang dekat sini ditahan apabila video dia memukul isterinya yang masih dalam pantang menjadi viral.

Berdurasi dua minit 50 saat, klip video yang dimuatnaik di Facebook itu menunjukkan suspek memakai jaket gelap sedang bertengkar dengan isterinya di luar pos kawalan polis.

Wanita itu yang mengenakan baju biru dan kain sarung berjalan sambil dipimpin seorang warga emas yang mendukung bayi.

Difahamkan mangsa baru sahaja melahirkan bayi dan ketika ini masih dalam tempoh berpantang.

Rakaman sama juga menunjukkan suspek memasuki bangunan sebelum meluru ke arah mangsa dan memukulnya di kepala.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Mohd Kamil Sukarmi berkata, suspek yang berusia 30 tahun ditahan di tempat kerjanya kira-kira pukul 4 petang, Ahad.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat selepas polis menerima laporan mengenai kejadian itu.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994.

"Setakat ini keterangan saksi telah diambil di lokasi kejadian dan suspek kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan," katanya.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain