suria

Perbicaraan Kes Bunuh Kevin Morais Bermula Rabu

KUALA LUMPUR: Perbicaraan tujuh lelaki, termasuk seorang doktor, atas pertuduhan membunuh dan bersubahat dalam pembunuhan timbalan pendakwa raya Datuk Anthony Kevin Morais akan bermula Rabu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Abdul Razak Musa semasa dihubungi berkata Mahkamah Tinggi menetapkan 16 hari untuk perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Tarikh perbicaraan adalah seperti berikut: 6 April hingga 15 April; 3 Mei hingga 6 Mei; 6 Jun hingga 8 Jun; dan 27 Jun hingga 28 Jun.

Pihak pendakwa raya akan memanggil 60 saksi.

Peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili doktor dan ahli patalogi tentera Kolonel Dr K. Kunaseegaran, berkata beliau sudah bersedia bagi perbicaraan itu.

"Bagi diri saya anak guam saya tiada kena mengena langsung dengan kematian Kevin dan beliau tidak membantu atau bersubahat dalam apa cara sekalipun," katanya ketika ditanya tentang kes anak guamnya itu.

Pada 27 Jan lepas, enam lelaki - G. Gunasekaran, 43; R. Dinishwaran, 23; A. Thinesh Kumar, 22; M. Vishwanath, 25; S. Nimalan, 22; dan S. Ravichandaran, 34, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh semasa dihadapkan ke mahkamah.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara 7 pagi dan 8 malam, 4 September, 2015, di antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No. 1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Mereka berdepan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan manakala Kunaseegaran, 52, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Dia dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama-sama Seksyen 302 akta sama.

Pada 28 Mac, Nimalan dan Thinesh Kumar mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan alternatif iaitu cuba menyembunyikan mayat dan menyebabkan kematian  Kevin Morais.

Kevin Morais, kes bunuh

Artikel Lain